Alor Setar: "Saya tidak berhasrat pergi ke mahkamah esok melihat suspek bunuh ayah, saya bimbang emosi saya akan lebih terganggu apabila melihat mereka berdua," kata Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25.
Anak bongsu Sabari Baharom, 62, ini berkata dia dimaklumkan perkara itu oleh pegawai penyiasat pagi tadi bahawa dua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kubang Pasu, esok.
Bagaimanapun katanya, kakak sulungnya Suraiya Izzati, 29, akan pergi ke mahkamah esok bagi melihat sendiri pendakwaan terhadap dua suspek terbabit.
"Saya harap kes ini akan berjalan lancar di mahkamah dan suspek akan mengaku di mahkamah, selepas ini saya harap mereka akan dikenakan hukuman paling maksimum supaya dia tidak akan ada peluang lagi buat perkara sama kepada orang lain.
"Sekiranya dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pun dia perlu terima, sebab dia pun ambil nyawa orang, apa yang dia buat dia akan dapat balik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Amir berkata, dia tidak dapat menerima perbuatan suspek yang dianggap terlalu kejam untuk insan sebaik ayah yang selalu melayan suspek dengan baik.
Katanya, kejadian seperti ini perlu menjadi iktibar kepada masyarakat kerana ketagihan judi juga boleh menyebabkan manusia bertindak di luar batas sehingga sanggup membunuh.
"Selalu kita dengar orang ketagih dadah akan boleh buat tindakan kejam seperti bunuh ahli keluarga tapi kali ini agak luar biasa kerana ketagihan judi orang sanggup bunuh orang.
"Suspek buat kepada ayah tanpa rasa bersalah, selepas campak ayah ke sungai dia boleh pergi berseronok berjudi di Batam, Indonesia, seperti tiada apa yang berlaku, jika manusia ada hati perut, dia akan rasa takut dan gelisah selepas bunuh orang," katanya.
Amir berkata, sebagai anak dia tetap mahu keadilan untuk ayahnya dan dia yakin apa saja keputusan yang diambil mahkamah kelak akan menjadi contoh kepada masyarakat.
Katanya, dia tidak mahu mengganggu perjalanan kes mahkamah malah apabila siasatan mula dilakukan secara terperinci dia menyerahkan segalanya kepada polis.
"Kita tidak tahu apa yang suspek cakap mungkin dia hanya campak ayah ke sungai, atau mungkin dia pukul ayah dulu atau sebagainya, mayat ayah tidak ditemui.
"Cara pembunuhan ayah pun akan jadi contoh, namun saya yakin dengan polis undang-undang negara, kes ini perlu jadi pengajaran kepada semua orang," katanya.
Sebelum ini, dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 38 tahun ditahan 27 September bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan, suspek terbabit membuat pengakuan mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Derang, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.