Bayan Lepas: Keputusan mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Pulau Pinang akan diumumkan pada Jumaat ini, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Beliau berkata demikian selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang 4/2024 yang berakhir hari ini di sini.
"Mesyuarat diadakan selama dua hari dan berlangsung dengan lancar. Perbincangan sudah diadakan dan antaranya ialah mengenai isu GISBH yang menjadi perhatian.
"Perkara itu akan dibawa kepada JHEAIPP dan akan dimaklumkan oleh Yang Dipertua MAINPP (Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid) pada Jumaat (18 Oktober)," katanya ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Sukki berkata, selain GISBH, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai isu tempatan dan solidariti kepada Palestin.
"Pada hari ini, mesyuarat turut dihadiri agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Isnin lalu, Mohamad berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang itu adalah bagi membuat ketetapan sama ada kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur sesat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.