Edited by sfhzuraz at 16-10-2024 10:30 AM
Rusia sedia bekal produk halal bermutu tinggi dari Tatarstan kepada Malaysia
16 Oktober 2024 07:33am
Mohamad (kanan) diiringi Latypov (tengah) pada resepsi upacara memperingati sempena kunjungan mesra Detasmen Armada Tentera Laut Rusia bagi Asia Pasifik pada Majlis Ulang Tahun ke-110 Tenggelamnya Kapal Perang Zhemchug di George Town, malam tadi.
GEORGE TOWN - Rusia hari ini menzahirkan kesediaannya untuk membekalkan produk halal bermutu tinggi kepada Malaysia.
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov berkata, beberapa produk dari Tatarstan, sebuah republik persekutuan berautonomi dengan penduduk Islam melebihi 40 peratus jumlah populasi di negara itu, telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata Rusia bersedia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang kerana negara tersebut memiliki silaturahim yang berkekalan di rantau Asia Pasifik.
"Kami sedia menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan, budaya dan pelancongan. Hari ini kami mempunyai detasmen Armada Tentera Laut Rusia bagi Asia Pasifik di Pulau Pinang dan ia menandakan hakikat bahawa kami bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang teknikal ketenteraan,” katanya.
Latypov berkata demikian pada resepsi upacara memperingati sempena kunjungan mesra Detasmen Armada Tentera Laut Rusia bagi Asia Pasifik pada Majlis Ulang Tahun ke-110 Tenggelamnya Kapal Perang Zhemchug dalam Pertempuran Pulau Pinang ketika Perang Dunia Pertama di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo serta Timbalan Panglima Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia, Kepten Yusman Darmawan.
Latypov berharap Rusia dan Malaysia akan terus menjalinkan hubungan yang kukuh terutama selepas pertemuan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Forum Ekonomi Timur kesembilan bulan lepas.
Beliau juga berkata, detasmen Rusia telah menyempurnakan misi penting negara hari ini dengan memberikan penghormatan kepada 89 pelaut yang disemadikan di Tanah Perkuburan Western Road di sini selepas terkorban dalam insiden tragis kapal perang Zhemchug tenggelam ketika Pertempuran Pulau Pinang.
Pertempuran itu tercetus lewat malam 28 Oktober 1914 apabila kapal berkelajuan tinggi Jerman SMS Emden yang berada pada jarak amat dekat dengan Zhemchug telah melancarkan serangan torpedo demi torpedo yang mengenai kapal Rusia itu.
Armada Pasifik Tentera Laut Rusia itu, yang terdiri daripada kapal korvet iaitu Gromkiy, Rezkiy serta Aldar Tsydenzhapov dan kapal sokongan Pecheng, telah berlabuh di SPCT semalam.
Tahun lepas, Rusia adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) pada 2023 berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) yang dicatat pada 2022. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/691231/berita/nasional/rusia-sedia-bekal-produk-halal-bermutu-tinggi-dari-tatarstan-kepada-malaysia
|