Jitra: "Saya menjerit untuk mengejutkan pemilik dan pekerja kedai papan supaya menyelamatkan diri dan kenderaan mereka ketika api masih kecil.
"Syukur mereka sempat menyelamatkan diri kerana ketika kejadian, masing-masing sedang tidur nyenyak," kata Safirun Mohamad, 44.
Safirun adalah saksi kebakaran membabitkan empat unit rumah kedai di Jalan Kampung Naga, pekan Kepala Batas, di sini, kira-kira 5 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, empat unit kedai dua tingkat yang dijadikan stor penyimpanan barangan perkakasan (bangunan jenis tidak kekal), musnah.
Menurut Safirun, dia menyedari kejadian selepas ternampak api kecil di bahagian bumbung bangunan berkenaan.
"Saya dengar bunyi 'krek' sebelum ternampak api di atas bumbung dan terus menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kepada bomba.
"Ketika itulah saya menjerit meminta semua yang ada dalam kedai papan berhampiran supaya keluar menyelamatkan diri kerana ketika itu mereka sedang tidur," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Safirun berkata, ketika kejadian, dia baru selesai menutup premis kedai tambah nilai telefon bimbit miliknya tidak jauh dari bangunan itu, dan duduk sambil berehat bersama empat rakannya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.10 pagi tadi.
"Kebakaran itu menyebabkan kemusnahan 90 peratus dan api berjaya dikawal pada 5.36 pagi, sebelum dipadamkan sepenuhnya 7.29 pagi tadi.
"Tiada kemalangan jiwa. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.