Sawah musnah dilanda banjir
Oleh Safuri Kamarudin - Oktober 14, 2024 @ 3:16pm [email protected]
Mohd Asroh menunjukkan sawah padi musnah dilanda banjir di Kampung Charok Sikin.- Foto NSTP/Ihsan Penduduk.
BALING: Seorang petani kerugian lebih RM60, 000 apabila sawah padi yang diusahakan sejak sepuluh tahun musnah dalam kejadian banjir yang melanda daerah ini.
Banjir yang melanda Baling sebanyak enam kali dalam tempoh 16 hari menyebabkan sawah padi seorang petani Mohd Asroh Ahmad, dimasuki air sedalam 0.5 meter dan memusnahkan anak padi yang baru ditanam tiga bulan lalu.
Mohd Asroh, 52, dari Kampung Charok Sikin, berkata hujan lebat setiap hari menyebabkan berlaku banjir dan memusnahkan tanaman padi yang menjadi sumber pendapatannya.
Beliau mengusahakan sawah sejak 10 tahun lalu di tanah seluas 16.4 hektar sebagai sumber pendapatan tetapi musnah akibat banjir.
"Dah lima kali ditenggelami banjir tetapi kali ini paling teruk dan musnah semuanya.
"Saya mengalami kerugian yang teruk kali ini akibat bencana itu dan berharap ada agensi yang dapat membantu bagi meringankan beban yang saya alami," katanya.
Mohd Asroh berkata, dia tidak mempunyai modal pusingan dan hanya bergantung modal terkumpul setiap tahun.
"Banjir kali ini berlaku luar biasa dan kerap dalam masa yang singkat sehingga sawah padi penuh dengan air.
"Saya amatlah berharap ada pihak yang tampil untuk membantu bagi membolehkan saya mengusahan semula sawah," katanya.
Beliau berkata, dia mencari tanah terbiar di kawasan ini untuk mengusahakan tanaman padi kerana banyak tanah terbiar.
"Tanah kosong dan tidak ditanam dengan pelbagai tanaman saya berikhtiar untuk ditanam dengan padi sebagai sumber pendapatan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/10/1310657/sawah-musnah-dilanda-banjir
|