20 rumah Kampung Binjul Luar di Baling dinaiki air sejam
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 14, 2024 @ 9:36am [email protected]
Antara rumah penduduk di Kampung Binjul Luar, Baling yang dilanda banjir kilat malam tadi. - Foto Adie Zulkifli
BALING: Kira-kira 20 rumah di Kampung Binjul Luar, di sini, malam tadi, menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa berlindung sementara di masjid kampung berkenaan.
Banjir selama sejam itu dianggap yang terburuk sepanjang tempoh lima tahun.
Penduduk Suriati Saad, 48, berkata dalam kejadian jam 9 malam itu dia dan suaminya tidak berada di rumah.
"Saya bergegas pulang setelah menerima panggilan dari jiran yang memaklumkan rumah saya sudah dimasuki air.
"Kami terkejut melihat rumah dinaiki air hingga paras lutut (0.5 meter). Semua perabot dan peralatan elektrik yang diletakkan di lantai terjejas," katanya ketika ditemui malam tadi.
Suriati berkata, banjir di kampung yang terletak di belakang Taman Eko Rimba Bukit Hijau itu antara yang terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penduduk yang berlindung sementara di masjid kampung berkenaan pulang ke rumah menjelang tengah malam selepas air mulai surut.
Jalan utama yang menghubungkan ke kampung juga ditutup lebih satu jam setelah ia ditenggelami air.
Sementara itu, sebuah Perodua Alza turut dihanyutkan arus kuat ketika banjir di Kampung Binjul di sini kira-kira jam 10 malam tadi.
Kereta itu kemudian dihanyutkan oleh arus deras sebelum terjatuh ke dalam parit di tepi jalan.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri yang berada di dalam kereta selamat tanpa sebarang kecederaan selepas ditarik keluar oleh penduduk dan pengguna jalan raya lain.
Menurut penduduk kampung, kereta itu antara puluhan kenderaan yang cuba melalui jalan yang dinaiki air kira-kira jam 9 malam.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310443/20-rumah-kampung-binjul-luar-di-baling-dinaiki-air-sejam
|