Langkawi: Banci Pertanian 2024 yang berakhir Khamis minggu lalu mencatatkan penambahan 59,284 pegangan pertanian baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan 1,256,593.
Lebih membanggakan hasil bancian bermula 7 Julai lalu selama 96 hari juga merekodkan capaian melebihi 100 peratus iaitu 105 peratus.
Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peringkat awal pelaksanaan banci terdapat 1,197,309 pegangan pertanian terdiri 1,177,566 atau 98.4 peratus isi rumah.
"Sebanyak 19,753 atau 1.6 lagi adalah pertubuhan perniagaan yang aktif.
"Setelah banci berakhir, didapati sebanyak 1,256,593 atau 105 peratus, selain menemui tambahan 59,284 pegangan pertanian baharu," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Menamah Agrojaya Sdn Bhd di sini.
Mohd Uzir berkata, data terbabit juga diyakini mampu menghasilkan input yang diperlukan sama ada oleh penggubal dasar, pihak industri, penyelidik dan ahli akademik mahupun petani.
MOHD Uzir (kanan) menunjukkan keju mozarella dari susu kerbau yang sudah siap diproses.
"Walaupun tempoh pembancian lapangan secara bersemuka di seluruh negara telah berakhir namun mopping-up akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bermula 11 sehingga 24 Oktober ini.
"Justeru, data yang diperoleh akan dikemaskini secara berkala dan berterusan untuk merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan bagi masa depan sektor pertanian negara," katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata, empat subsektor utama yang diberi fokus utama dalam Banci Pertanian kali ini membabitkan tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.
"Seterusnya, pelaksanaan operasi Penilaian Liputan Banci Pertanian bagi menilai kualiti liputan dan kandungan Banci Pertanian 2024 pula akan bermula pada 1 November 2024 sehingga 31 Januari 2025.
MOHD Uzir (kanan) melihat proses pembuatan keju dari susu kerbau ketika mengadakan lawatan ke Menamah Agrojaya di Padang Gaong, Mukim Ulu Melaka.
"Ini selaras dengan saranan daripada Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melalui World Programme for the Census of Agriculture (WCA)," katanya.
Menjelaskan mengenai keperluan melaksanakan Banci Pertanian tahun ini, Mohd Uzir berkata, pihaknya mendapati langkah itu patut dilakukan semula selepas kali terakhir dilakukan 19 tahun lalu.
Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan hasil bancian pertanian di Kedah mencapai 105.8 peratus dengan pertambahan 4,719 kes baharu berbanding 81,780 senarai asal isi rumah.
"Langkawi mencatatkan kadar yang tertinggi dengan 152.3 peratus, diikuti Kuala Muda (128.9 peratus) dan Kulim (114.8 peratus).
Pada masa sama, beliau berkata, penghasilan statistik sektor pertanian akan diperketat dengan perantaian ke hadapan menerusi tinjauan bulanan dan suku tahunan baharu.
"Semua data diperolehi ini akan dikemas kini secara berkala dan seterusnya menjadi sumber utama kerajaan dan agensi pertanian untuk merangka dasar lebih tepat dan berkesan bagi masa depan sektor pertanian negara," katanya.