|
‘Akhirnya, semua ini adalah hiburan semata-mata’
https://www.kosmo.com.my/2024/10 ... iburan-semata-mata/
Oleh NUR EMIRA SAIZALI
2 Oktober 2024, 8:10 am
MEMBUMI dalam acuan sendiri, selebriti versatil Alif Satar tegas dengan pendiriannya untuk tidak terlalu selektif berhubung tawaran lakonan. Pada fasa sekarang, dia lebih mengutamakan kepuasan dan keseronokan , dalam hidup mahupun pekerjaan.
KETIKA ramai pendatang baharu meletakkan sasaran untuk menggenggam trofi anugerah, sama ada kategori popular mahupun terbaik, selebriti penuh karisma, Alif Satar pula memiliki pandangan sebaliknya.
Dua dekad bergelar anak seni, dia bukan hanya enggan mengejar sebarang anugerah, bahkan perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam benaknya.
Bagi pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar, 34, segala yang dilakukan sejak berada dalam industri seni adalah untuk menghiburkan orang ramai.
“Saya tak pernah rasa perlu kejar mana-mana anugerah. Fokus saya lain iaitu hanya ingin menghiburkan khalayak.
“Kalau saya menyanyi atas pentas sesebuah acara anugerah pun, persoalan itu tak pernah terlintas pun.
“Itu bukan permainan saya sebagai anak seni,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Melihat ramai rakan seperjuangan yang kini meraih pengiktirafan, tiada sekelumit pun rasa cemburu dalam dirinya, apatah lagi bersedih kerana tidak beroleh peluang sama.
Tegas bekas peserta program One In A Million itu, anugerah mahu pun pengiktirafan tidak seharusnya menjadi tekanan, sebaliknya dia perlu sentiasa yakin dengan rezeki Tuhan.
“Saya pernah rasa tekanan untuk semua itu apatah lagi nak berlumba dengan orang lain, lebih selesa dalam haluan sendiri.
“Orang tak akan ingat pun jenis dan bila seorang artis itu dapat anugerah. Itu cara saya.
“Saya cuma mahu menjadi versi terbaik Alif Satar dan mahu dikenali sebagai individu positif serta beri semula segala dimiliki kepada masyarakat,” ujarnya.
ALIF melihat sesetengah pihak zaman ini mudah tersinggung atau bahasa pasarnya ‘terciduk’dan terlalu banyak kerisauan terhadap semua perkara.
Tak cerewet
Ditanya bagaimana dirinya kekal positif sedangkan ramai selebriti lain sibuk mengejar kemasyhuran dan perkara negatif, Alif hanya menjalani semua itu mengikut aturan Tuhan.
“Saya sangat positif dalam semua hal? Mungkin sebab didikan keluarga saya juga.
“Mungkin juga dunia perlukan elemen positif itu ketika ini selepas macam-macam benda yang boleh ubah pemikiran manusia sekarang.
“Hari ini pula ramai yang cepat ‘terciduk’ (mudah tersinggung) sangat dan terlalu banyak kerisauan. Jadi, itu cara saya kekal positif dan sentiasa percaya sebetul-betulnya semuanya ketentuan Allah,” tuturnya.
Melihat semula perjalanan karier seninya, Alif boleh dikatakan jarang dilihat dalam naskhah ‘box-office’ atau rating tinggi.
Apabila ditanya tentang itu, Alif menegaskan dia bukan pelakon yang cerewet atau selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan termasuk untuk filem terbaharunya, Reeza GTR.
“Saya sudah berada dalam industri ini selama 18 tahun dan untuk berada dalam posisi sekarang adalah saya selalu lakukan apa yang saya mahu.
“Tidak pernah langsung menjadi artis yang memilih atau cerewet dalam pemilihan naskhah dan produksi yang ingin saya bekerja.
“Kalau orang lain nak cerewet, itu hak mereka. Saya cuma buat apa saya suka dan kini dalam fasa untuk mencari keseronokan diri sendiri,” tuturnya.
Dia juga tidak kisah dengan kata-kata orang yang melabelnya tidak mementingkan kualiti sesebuah naskhah.
“Kalau orang nak cakap kenapa saya berlakon filem yang tak berbaloi, biarkan. Saya pula suka filem jenis ‘chick flicks’.
“Kalau berlakon dalam filem hebat, pelakon popular dan promosi ‘gempak’ macam mana pun, tetapi jika Allah kata tidak, maka tak meletuplah.
“Pada akhirnya, semua ini adalah hiburan semata-mata,” ujar bintang filem Pulau itu.
Alif juga berkata dia tidak cerewet dalam menerima sebarang watak dan mengejar karakter hebat seperti dipegang rakan seangkatannya.
“Pada usia sekarang, ramai pelakon mengejar untuk jadi hero beruniform tetapi saya pula sebaliknya. Saya okey sahaja dengan watak yang orang kata biasa-biasa sahaja.
“Kalau orang cakap watak atau skrip yang bagus, sebenarnya apa maksud bagus itu di mata mereka?,” kongsinya yang hanya menolak sesebuah tawaran sekiranya berlaku pertindihan jadual kerja.
ALIF kini muncul dalam sebuah filem aksi permotoran, Reeza GTR berganding dengan Sophia Albarakbah.
ALIF menyifatkan filem Reeza GTR arahan Dr. Ahmad Idham yang akan mula ditayangkan 17 Oktober depan memberi makna sangat besar bjuat dirinya.
Pelakon baharu
Berkongsi tentang Reeza GTR arahan Dr. Ahmad Idham yang akan mula ditayangkan 17 Oktober depan, Alif berkata, filem tersebut memberi pengalaman berbeza buat dirinya.
“Filem ini beri keseronokan berbeza, banyak elemen positif diterapkan dan paling saya suka pastinya tentang pengakap.
“Orang lain jadi hero unit beruniform, saya pun ada juga tetapi pengakap,” katanya sambil tertawa.
Digandingkan dengan barisan pelakon baharu seperti Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam dan Noki K-Clique, Alif turut memuji semua komitmen yang diberikan untuk filem tersebut.
“Apabila berlakon dengan pendatang baharu, mereka perlu beri yang terbaik sebab saya pun akan beri hasil paling bagus kepada mereka.
“Untuk filem Reeza GTR ini, Sophia berikan yang terbaik dalam lakonannya dan hasilnya bagus.
“Kami semua profesional dalam set penggambaran. Sebenarnya profesional itu hadir dari diri sendiri dan barulah semuanya berjalan dengan baik,” tuturnya lagi.
Bukan sahaja dalam Reeza GTR, dia juga bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pelakon baharu yang berbakat besar.
“Alhamdulillah, setakat ini saya digandingkan dengan ramai artis baharu yang bagus
“Ada juga yang rasa gementar apabila melihat cara saya bekerja, padahal saya bukan seorang menakutkan pun,” katanya mengakhiri perbualan.
TIDAK cerewet, tidak juga hairan untuk mengejar anugerah, sama ada popular mahupun terbaik, Alif hanya mahu berseronok dengan setiap pekerjaan yang dilakukannya.
|
|