CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 39706|Reply: 0

[Kedah] 'Banjir termenung' tenggelamkan 6,000 hektar sawah kawasan MADA

[Copy link]
Post time 25-9-2024 03:11 PM | Show all posts |Read mode
'Banjir termenung' tenggelamkan 6,000 hektar sawah kawasan MADA


Noorazura Abdul Rahman - September 25, 2024 @ 3:02pm[email protected]







Keadaan sawah di Jitra yang ditenggelami banjir termenung minggu lalu. - NSTP/FOTO FAIL





ALOR SETAR: Kawasan sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas kira-kira 3,000 hektar di Kedah masih ditenggelami air akibat banjir termenung.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata sekitar 2,000 hektar kawasan yang masih tenggelam itu berada di daerah Pendang.

Beliau berkata, secara keseluruhan, hampir 6,000 hektar sawah di kawasan MADA ditenggelami air banjir sejak minggu lalu menyebabkan pesawah menanggung kerugian besar.

Katanya, kejadian sawah dilimpahi banjir kali ini adalah lebih tinggi berbanding banjir pada 2010.

"Pada 21 September adalah hari paling kemuncak apabila 5,915 hektar sawah di Kedah dan Perlis ditenggelami air, Pendang di Zon 3 mencatatkan jumlah yang paling luas iaitu 2,481 hektar.

"Ia diikuti Zon 4 dengan keluasan 1,636 hektar, Zon 2 membabitkan 1,603 hektar dan Zon 1 seluas 82 hektar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Ismail berkata, kejadian banjir di Pendang agak luar biasa disebabkan limpahan Sungai Pendang akibat taburan hujan yang tinggi, yang menyaksikan air sungai masih pada paras bahaya.

"Pada 2010, Pendang dilanda banjir akibat aliran air bah yang lebih tinggi dari sungai di Kuala Nerang dan Anak Bukit ke Sungai Pendang. Namun, saya percaya kali ini, hujan luar biasa di Pendang menyebabkan Sungai Pendang melimpah.

"Saya sudah tinjau di kawasan sawah yang terjejas di Pendang semalam, air sudah bercampur dengan selut dan dijangka surut sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata, arus Sungai Pendang kini mengalir terlalu perlahan ke Sungai Kedah sebelum sampai ke laut, menyebabkan ia masih berada pada paras bahaya, manakala paras sungai lain sudah kembali normal.

Untuk mengelak kejadian berulang, Dr Ismail menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendalamkan dasar Sungai Pendang dan memastikan semua aliran sungai kecil dan parit yang masuk ke Sungai Pendang tidak tersumbat.

"Kita sedih dengan kejadian kali ini kerana petani akan rugi teruk, MADA masih lagi menjalankan bancian terperinci nilai kerugian yang ditanggung pesawah.

"Hanya 12 peratus sawah di Pendang yang berjaya dituai sebelum banjir. Mereka sepatutnya dapat hasil seminggu dua lagi tapi sekarang semuanya musnah," katanya.

Katanya, hasil bancian akan dihantar kepada Jabatan Pertanian sebelum dibawa kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pertimbangan bayaran pampasan kepada pesawah.

"Kita akan usahakan secepat mungkin bagi meringankan beban yang ditanggung petani," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302806/banjir-termenung-tenggelamkan-6000-hektar-sawah-kawasan-mada






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-1-2025 02:49 PM GMT+8 , Processed in 0.040605 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list