Banjir Kedah: Mangsa berkurangan, 5,447 di 29 PPS
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 25, 2024 @ 8:35am [email protected]
Mangsa banjir membersihkan rumah selepas hampir seminggu ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Padang Luar, Jitra semalam. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus berkurangan kepada 5,447 daripada 1,741 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi ini.
Jumlah itu menurun berbanding 5,478 mangsa daripada 1,750 keluarga yang dilaporkan setakat jam 11 malam tadi.
Empat daerah masih terjejas banjir ialah Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Berdasarkan laman web Publik Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, bacaan paras air Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar melepasi paras bahaya jam 7 pagi ini.
Selain itu, bacaan paras air Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar pula melepasi paras amaran.
Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Bata di Kampung Bata daerah Kubang Pasu dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar pula mencatatkan bacaan melepasi paras waspada setakat ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302632/banjir-kedah-mangsa-berkurangan-5447-di-29-pps
|