Alor Setar: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus berkurangan kepada 6,792 mangsa daripada 2,171 keluarga yang masih ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 11 malam ini.
Jumlah itu menurun daripada 7,525 setakat jam 3 petang tadi di empat daerah di negeri ini iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena,
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan seramai 4,626 mangsa daripada 1,509 keluarga yang masih ditempatkan di 19 PPS di daerah itu berbanding 5,212 mangsa daripada 1,719 keluarga setakat jam 3 petang tadi.
Sementara itu, di daerah Pendang mencatatkan jumlah seramai 1,606 mangsa daripada 490 keluarga di 10 PPS dan jumlahnya sama seperti petang tadi.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kubang Pasu pula terus menurun kepada 493 mangsa daripada 144 keluarga berbanding 621 mangsa 196 keluarga di tiga PPS di daerah itu sebelum ini.
Manakala di PPS Pokok Sena pula mencatatkan seramai 67 mangsa daripada 28 keluarga berbanding 88 mangsa daripada 39 keluarga di sebuah PPS sebelum ini.