Tasek Gelugor: Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan berhubung cadangan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat, di sini, dalam usaha mengatasi masalah pencemaran Sungai Kereh ekoran pelepasan sisa babi dekat situ.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai masalah yang berlaku termasuk isu pencemaran Sungai Kereh menjadi topik hangat yang dibahaskan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) lalu.
Berikutan itu, katanya pusat pemprosesan najis ternakan terbabit bukan lagi satu pilihan tetapi ia adalah keperluan yang perlu disegerakan kerana ia bukan saja dapat mengatasi masalah pencemaran, malah sisa dilepaskan dapat diproses menjadi gas dan seterusnya membekalkan tenaga elektrik yang dapat menjana ekonomi.
"Di sini, kita bukan nak menyusahkan cara hidup atau perniagaan penternak (babi) malah kita nak bantu mereka menjalankan perniagaan secara profesional dengan tidak mencemarkan sungai.
"Ia adalah dengan cara membina sistem biogas (pusat pemprosesan najis ternakan) yang mana ia tidak akan menyalurkan sisa-sisa pembuangan (najis) terus ke sungai.
"Pada peringkat permulaan, kita akan bawa (cadangan) ke dalam mesyuarat Exco terlebih dulu pada minggu ini, kemudian akan bincang hala tuju dengan semua jabatan berkaitan (bagi pelaksanaan projek ini)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di ladang ternakan dan penyembelihan babi sebelum ke lokasi pencemaran Sungai Kereh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Norazizi Adinan dan Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri, Dr Tishrin Muhammad Ismail.
Untuk rekod, terdapat 130,000 ekor babi di 61 ladang ternakan di Kampung Selamat yang beroperasi lebih 40 tahun.
Sementara itu, Dr Tishrin berkata, kesemua ladang itu mematuhi piawaian minimum apabila penternak menggunakan kolam penapisan untuk membersihkan sisa sebelum dilepaskan.
"Sebenarnya semua penternak memberi sokongan penuh dan ternanti-nantikan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan ini.
"Komitmen ini ditunjukkan apabila mereka (penternak) menandatangani persetujuan pembinaan sistem ini dalam usaha menyelesaikan isu (pencemaran) yang berlaku," katanya.
Media pada 2021 melaporkan kajian saintifik sebuah makmal bebas mendedahkan pencemaran Sungai Kereh yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berpunca daripada pelepasan najis babi dari Kampung Selamat di sini.
Analisis kualiti air di sungai itu dilakukan makmal bebas hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh.