Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 8,455 orang daripada 2,699 keluarga yang masih ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 2 petang hari ini.
Ini berikutan, tiga PPS ditutup sepenuhnya hari ini selepas mangsa dilaporkan pulang ke rumah berikutan banjir mulai surut.
Jumlah itu berkurangan berbanding 8,898 mangsa daripada 2,871 keluarga yang ditempatkan di 44 PPS di lima daerah di negeri ini.
Setakat ini, 41 PPS yang masih aktif di lima daerah ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang Bandar Baharu dan Pokok Sena.
Berdasarkan laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan seramai 5,219 mangsa daripada 1,747 keluarga di 18 PPS yang masih aktif.
Jumlah itu meningkat berbanding 5,099 mangsa daripada 1,698 keluarga ditempatkan di 18 PPS di daerah itu pada jam 7.30 pagi tadi.
Daerah Pendang mencatatkan pertambahan jumlah mangsa iaitu 1,581 mangsa daripada 474 keluarga berbanding 1,487 mangsa daripada 449 keluarga di 10 PPS di daerah itu.
Selain itu, daerah Kubang Pasu mencatatkan penurunan mangsa kepada 962 mangsa daripada 278 keluarga berbanding 1,382 orang daripada 444 keluarga.
Mangsa banjir di Pokok Sena pula menurun kepada 546 orang daripada 166 keluarga berbanding 783 mangsa daripada 246 keluarga di lima PPS yang masih aktif.
Sementara itu, daerah Bandar Baharu mencatatkan jumlah mangsa masih kekal 147 orang daripada 34 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS yang masih beroperasi setakat ini.
Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, hanya dua sungai di daerah Kota Setar mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat jam 1 tengah hari ini.
Sungai terbabit ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR Dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman.
Sungai Bata di daerah Kubang Pasu dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di Kota Setar pula masih melepasi paras amaran setakat ini.