Alor Setar: Lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 PPS beroperasi bagi menempatkan 2,267 mangsa.
Setakat 4 petang ini, jumlah mangsa banjir menurung berbanding seramai 2,618 orang pada 12 tengah hari tadi, namun PPS bertambah untuk mengatasi kesesakan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sebanyak 603 keluarga ditempatkan di PPS membabitkan enam daerah yang terjejas akibat banjir.
Menurutnya, ia termasuk di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim.
"Terdapat kemungkinan bilangan mangsa banjir di negeri ini akan bertambah dan JKM bersedia untuk membuka PPS baharu bagi menempatkan mangsa banjir yang terkesan," katanya.
Katanya, operasi memindahkan mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini sedang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).