Banjir: Ibu dalam pantang, dua anak OKU berjaya diselamatkan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 18, 2024 @ 3:17pm [email protected]
Mangsa banjir, Siti Norlaila Ishak memegang bayinya yang dilahirkan lima hari lalu, di Pusat Pemindahan banjir di Pusat Latihan Sukan Pendang. - Foto NSTP/ WAN NABIL NASIR
PENDANG: "Ketika air masuk perlahan-lahan ke dalam rumah, saya hanya fikirkan bayi perempuan yang baru lima hari serta dua anak orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 12 dan 5 tahun," kata Siti Norlaila Ishak, 40.
Dia yang baru melahirkan anak ketiga menerusi pembedahan lima hari lalu tidak menjangka banjir kali ini berlaku dengan cepat menyebabkan rumahnya di Kampung Banggol Besi, dinaiki air sehingga paras lutut.
Katanya, ketika kejadian, suaminya, Rosmadi Sharif, 41, cuba menimba air yang masuk ke dalam rumah tetapi tidak sempat berbuat apa-apa kerana air masuk dengan laju menjelang awal pagi, semalam.
"Suami kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penghulu kampung sebelum diarahkan berpindah.
"Dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), kami kemudian berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)di Dewan Belia Rakan Sukan Pendang, di Tanah Merah, di sini, hari ini.
Siti Norlaila berkata, dia sedih apabila menerima ujian banjir ketika masih berpantang anak ketiganya yang akan diberi nama Nur Qaseh Alfia.
Katanya, dia bersyukur kerana berjaya diselamatkan ketika banjir, namun berat memikirkan keadaan rumah selepas banjir surut kerana kawasan rumah perlu dibersihkan.
Seorang lagi mangsa banjir, Norsuhaila Abdul Halim, 34, berkata, dia hanya memikirkan bayi kembarnya yang berusia 50 hari walaupun barangan dalam rumah habis tenggelam dalam banjir.
Katanya, dia memegang kedua-dua bayi lelakinya, Mishari dan Mohamad yang baru 50 hari dilahirnya sambil membonceng motosikal yang dibawa suaminya, Mohd Rashid Ishak, 36, sambil meredah air untuk ke PPS berkenaan.
"Kami keluar ke sini sejak petang semalam dan ketika itu air sudah sampai paras lutut.
"Sebelum ini, banjir kilat kerap berlaku tetapi tidak sampai masuk ke dalam rumah, kali ini nampaknya banjir agak teruk," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1299892/banjir-ibu-dalam-pantang-dua-anak-oku-berjaya-diselamatkan
|