MBPP tebang 86 pokok sakit, akar terbantut berisiko tumbang
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - September 18, 2024 @ 2:37pm[email protected]
Rajendran (kanan) pada sidang media isu pokok tumbang dan amaran cuaca buruk di Dewan Bandaraya Pulau Pinang hari ini. - Foto NSTP/Aminah Yusof
GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menebang 86 batang pokok sakit yang dikhuatiri mengancam keselamatan awam setakat Ogos lalu dengan sejumlah 27 lagi pokok dikenal pasti untuk ditebang bermula minggu depan.
Datuk Bandar, Datuk A Rajendran, berkata usia pokok antara 60 hingga 80 tahun kebanyakan daripada spesies angsana dan hujan-hujan mengalami masalah akar terbantut menyebabkannya tidak stabil dan berisiko tumbang ketika angin kencang dan hujan lebat.
"Kita mengutamakan keselamatan nyawa memandangkan keadaan pokok-pokok berkenaan semakin lama semakin besar dan tinggi tetapi pembesaran akarnya terbantut kerana ruang sempit kerana ia berada berdekatan parit dan jalan.
"Jadi, akar yang kecil dan tidak bertumbuh dengan sihat ini tidak dapat menampung saiz pokok yang besar selain menyebabkannya tidak stabil dan berisiko tumbang jika angin bertiup secara melintang walaupun pemangkasan dahan telah dilakukan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rajendran berkata, MBPP juga sedang mempertimbangkan menebang sejumlah 54 pokok yang dikesan tidak sihat hasil penilaian 1,321 pokok berisiko di Jalan Utama, Jalan Perak dan Jalan Macalister pada masa akan datang.
Menurutnya, secara keseluruhan MBPP telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas 13,995 pokok di bahu jalan setakat ini membabitkan peruntukan kos sebanyak RM4.3 juta pada 2024.
"Bagi menganalisis keadaan kesihatan pokok, MBPP telah melantik pakar-pakar Aboris selain kita turut mendapat kerjasama Institut Jurutera Malaysia bagi memberi khidmat rundingan dalam pengurusan struktur dan kestabilan pokok," katanya.
Beliau berkata, dalam perkembangan semasa, Skuad Pantas MBPP telah diarahkan bersiap siaga berdepan fenomena cuaca ekstrem dengan rekod diperoleh daripada stesen cuaca menunjukkan taburan hujan purata dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu di Pulau Pinang mencecah 39.5 milimeter (mm) sehari.
"Selain itu, kelajuan angin telah direkodkan dengan kelajuan 37 kilometer per jam pada Ahad lalu di Stesen Universiti Sains Malaysia dan Prangin dengan kelajuan angin tersebut dikategorikan sebagai tinggi berdasarkan skala Beufort menyebabkan insiden pokok tumbang dan dahan patah," katanya.
Semalam media melaporkan, Pulau Pinang menerima hampir 200 aduan pokok tumbang, termasuk membabitkan rumah dan kenderaan di beberapa lokasi di negeri itu akibat kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga esok.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1299869/mbpp-tebang-86-pokok-sakit-akar-terbantut-berisiko-tumbang
|