Butterworth: Pengarah urusan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap 11 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM46,990.
Tertuduh Brandon Siow Chow Chen, 30, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai ejen iaitu Pengarah Urusan PR En Multi Coat melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM46,990 untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Pusat Perniagaan Raja Uda, Kampung Paya, di sini, antara 20 Jun 2023 hingga 7 Mac 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin, manakala tertuduh diwakili peguam H K Hng.
Semasa prosiding, Muhammad Rifaie memberitahu kesalahan bagi kes ini tidak boleh dijamin, namun pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM32,000 jika mahkamah membenarkan jaminan.
Hng kemudian merayu supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan minimum atas faktor menanggung seorang isteri dan ibu bapa berusia 60-an, selain akan memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM28,000 serta meminta tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport hingga perbicaraan selesai.
Kes akan disebut semula pada 4 Oktober depan untuk serahan dokumen.