Amalan wujud badan berkanun untuk jawatan politik wajar dihentikan - CUEPACS
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 5, 2024 @ 5:34pm [email protected]
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat (depan tengah) bersama penjawat awam selepas mengadakan perjumpaan dengan mereka di Kulim, hari ini. - Foto ihsan Majlis Perbandaran Kulim
KULIM: Amalan menubuhkan badan-badan berkanun hanya untuk mewujudkan jawatan bagi pelantikan politik wajar dihentikan bagi mengurangkan perbelanjaan berlebihan kerajaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan seperti diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin kerana akan menjimatkan dana negara.
"Ia pernah berlaku sebelum ini...pada akhirnya, ahli politik dilantik ke badan-badan berkanun tersebut. Mewujudkan badan berkanun hanya untuk memberi pendapatan kepada penyokong tegar organisasi politik tidak sepatutnya berlaku.
"Kita mesti berfikir dengan teliti kerana amalan melantik ahli politik sebagai pengerusi badan berkanun tidak memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara," katanya selepas menghadiri perjumpaan dengan penjawat awam di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri dipetik berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekretariat itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.
Mengulas lanjut, Adnan mengambil contoh, CUEPACS pernah menyuarakan bantahan terhadap penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2010 kerana penubuhannya bertindih dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Namun katanya, SPAD tetap ditubuhkan dengan pelantikan baru yang bertindih dengan tugas JPJ, sebelum akhirnya ia dimansuhkan.
"Perkara yang sama berlaku dengan beberapa agensi lain yang mempunyai skop kerja yang bertindih, di mana separuh daripada tugas dilaksanakan oleh satu agensi manakala separuh lagi dilaksanakan oleh agensi lain.
"Setiap agensi berfungsi di bawah kapasiti yang sepatutnya dan ini adalah satu pembaziran dana kerajaan," katanya.
Adnan berkata dengan pengalaman yang ada, pembabitan CUEPACS dalam seksetariat itu akan membantu mengatasi isu pentadbiran dan perbelanjaan negara kerana pihaknya dapat menyampaikan pandangan ahli-ahlinya kepada kerajaan.
"Seperti ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara yang baharu, untuk melihat kesetiaan penjawat awam kepada raja dan negara, diutamakan juga proses memberi kesetiaan kepada raja dan negara.
"Maknanya perkara-perkara yang merugikan, yang membazir ini perlu dielakkan supaya kita dapat meletakkan pengurusan kewangan negara lebih tepat dan berhemah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1294501/amalan-wujud-badan-berkanun-untuk-jawatan-politik-wajar-dihentikan
|