Alor Setar: Pesara jururawat berusia 76 tahun kerugian lebih RM1.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Mangsa yang sebelum ini bekerja di Sydney, Australia pada mulanya melihat peluang pelaburan itu yang diiklankan di YouTube.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, mangsa kemudian berurusan dengan wakil syarikat terbabit dan diterangkan berkaitan pelaburan itu melalui kelas dalam talian yang diadakan pihak syarikat.
Katanya, pengadu turut membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 pada 17 Jun lalu dan selepas itu pengadu terus membuat bayaran sebanyak 19 kali transaksi ke pelbagai akaun bank yang dibekalkan.
"Bagaimanapun selepas membuat bayaran berjumlah RM1,902,070, mangsa masih tidak mendapati sebarang keuntungan.
"Pengadu dijanji akan mendapati keuntungan dalam tempoh masa sebulan, namun sehingga laporan polis dibuat semalam di Balai Polis Jitra, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, pengadu tidak menerima sebarang pulangan.
"Pengadu mulai curiga dan mengesyaki dirinya kemudian ditipu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yew Lik berkata, siasatan mendapati pelaburan itu adalah palsu dan menggunakan nama satu pelaburan antarabangsa.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK Kedah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan keuntungan lumayan supaya tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.