Jangan spekulasi video papar warga Bangladesh pakai kemeja-T PDRM
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 3, 2024 @ 12:05am [email protected]
Tangkap layar tular memaparkan lelaki disyaki warganegara Bangladesh memakai kemeja-T tertera tulisan 'IPD Barat Daya' dan 'Polis Diraja Malaysia'.
BALIK PULAU: Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, mengambil maklum mengenai video tular memaparkan lelaki disyaki warga Bangladesh memakai baju-T tertera tulisan 'IPD Barat Daya' dan 'Polis Diraja Malaysia'.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata video itu dikesan pihaknya pada jam 1.30 tengahari tadi selepas dimuat naik pemilik akaun TikTok @muhammad.firdaus025.
"T-shirt berkenaan dibuat sekitar tahun 2016 dan tujuan penggunaan baju-T ini adalah bagi aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan sebagainya.
"Sebarang penggunaan baju-T berkenaan tidak ada kena mengena dengan penugasan rasmi PDRM di daerah Barat Daya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan lelaki tempatan merakamkan gelagat seorang lelaki yang didakwa warga Bangladesh memakai baju-T tertera logo PDRM dan nama IPD Barat Daya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1293254/jangan-spekulasi-video-papar-warga-bangladesh-pakai-kemeja-t-pdrm
|