BN umum calon PRK Mahkota dalam tempoh dua, tiga hari lagi
Oleh Nur Izzati Mohamad - September 2, 2024 @ 5:56pm [email protected]
Zambry (tengah) bersama Azlinda dan Zaliman melakukan simbolik perasmian majlis GTEST 2024 hari ini. NSTP/DANIAL SAAD
KEPALA BATAS: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dua atau tiga hari lagi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata senarai nama calon sudah dikumpulkan dan akan dibawa untuk perbincangan peringkat pimpinan tertinggi.
Katanya, nama calon yang diputuskan untuk bertanding pada PRK berkenaan kemudian akan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya rasa (calon yang akan bertanding PRK Mahkota) dijangka diumumkan tidak lama lagi, mungkin dua atau tiga hari lagi.
"Apa pun kita tidak akan umumkan di peringkat akhir, kita usaha memaklumkan siapa calon seperti yang kita buat sebelum ini di PRK Nenggiri dan lain-lain," katanya selepas merasmikan Pembukaan 'Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST) 2024' anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli .
Mengulas lanjut, Zambry berkata, UMNO tidak menghalang mana-mana sayap dan bahagian menghantar nama untuk dijadikan calon mewakili parti itu.
"(Dalam PRK ini) kita menerima cadangan nama seperti biasa dan tidak menghalang mana-mana sayap sama ada Wanita, Pemuda, Puteri ataupun peringkat bahagian sendiri menghantar nama (calon).
"Paling mustahak ialah apabila keputusan dibuat majlis tertinggi khususnya BN nanti, maka itu adalah calon yang akan mewakili kita," katanya.
Media hari ini melaporkan Wanita UMNO mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan parti bagi mewakili BN bagi PRK DUN Mahkota.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih iaitu 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1293153/bn-umum-calon-prk-mahkota-dalam-tempoh-dua-tiga-hari-lagi
|