Kulim Hi-Tech jadi contoh peralihan tenaga bersih
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Ogos 30, 2024 @ 10:31pm [email protected]
Fadillah melawat tapak penjanaan Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW NUR Power Sdn Bhd hari ini. Turut sama, Muhammad Sanusi. - Foto BERNAMA
KULIM: Kawasan teknologi perindustrian di seluruh negara wajar menjadikan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) sebagai contoh dalam membangunkan usaha peralihan tenaga bersih.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata usaha itu seiring hasrat kerajaan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050 dalam meningkatkan kualiti udara negara.
Jelasnya, perkara itu juga selaras dengan hasrat di dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Dalam landskap tenaga dunia, negara dengan ekonomi yang pesat membangun telah mula menggalakkan peralihan tenaga secara berkesan.
"Menurut laporan World Economic Forum, Fostering Effective Energy Transition 2023, China, India, Brazil dan negara jiran Indonesia merupakan antara negara utama dunia yang menunjukkan lonjakan yang ketara dalam peralihan tenaga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW NUR Power di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi NUR Power, Datuk Ir Mohd Sidek Ahmad.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata banyak negara kini memberi tumpuan kepada keselamatan tenaga dengan mengutamakan jaminan pembekalan dalam melaksanakan peralihan lebih pantas dan inklusif untuk masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan saksama.
Katanya, hala tuju NIMP 2030 dan NETR untuk masa hadapan akan berpaksikan kepada peralihan tenaga seimbang yang perlu diuruskan secara berkesan semua pihak terutama industri.
"Peralihan tenaga akan menjadi paksi utama dalam pelbagai sektor termasuklah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan menggalakkan tenaga bersih, inovasi, dan kecekapan tenaga.
"Pada masa sama, kita perlu memastikan peralihan kepada tenaga bersih mampu memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan turbin gas kitaran terbuka NUR Power akan menjana kuasa sehingga 90 Megawat (MW), iaitu tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada iaitu sebanyak 220MW bagi memenuhi permintaan di Kulim Hi-Tech yang semakin meningkat.
"Pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech, hanya dapat direalisasikan dengan adanya bekalan tenaga yang konsisten dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi mereka.
"Dengan wujudnya stesen jana kuasa yang baharu ini, saya yakin Kulim Hi-Tech akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana yang bertaraf dunia, cekap tenaga dengan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1292150/kulim-hi-tech-jadi-contoh-peralihan-tenaga-bersih
|