Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang menahan kapal tangki yang berdaftar dari negara China kerana disyaki bersauh secara haram di perairan negeri ini, semalam.
Kapal tangki berkenaan ditahan pada kedudukan 15.4 batu nautika barat laut perairan Muka Head Pulau Pinang pada jam 12.50 tengah hari.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kapal tangki sepanjang 130.2 meter berkenaan didapati dikendalikan oleh seramai 18 kru termasuk nakhoda.
"Mereka terdiri daripada warga China berusia lingkungan 31 hingga 51 tahun. Mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Razali berkata, nakhodanya didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberi alasan menunggu arahan pelayaran seterusnya daripada pihak syarikat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.
"Pihak syarikat perkapalan dinasihati supaya mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki atau bersauh di mana-mana perairan di Malaysia," katanya lagi.