PENUNTUT universiti didakwa merakam video kanak-kanak mandi dalam tandas gereja di Muar. FOTO Alias Abd Rani.
Muar: "Kalaulah video dirakam itu adalah diri kamu, apa perasaan kamu?" kata Hakim Abu Bakar Manat terhadap penuntut perubatan sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, yang mengaku bersalah merakam video kanak-kanak mandi di dalam tandas gereja, Jun lalu.
Tertuduh, Desmond Tan Chee Yong, 20, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda.
Beliau turut mengarahkan tertuduh memadamkan kesemua video dan gambar yang dirakam serta meminta maaf dengan mangsa.
"Kalau kamu masih menyimpan lagi gambar atau video itu, minta hapuskanlah. Selepas ini, jumpa kanak-kanak yang kamu rakam dan minta maaf," katanya.
Mengikut pertuduhan, anak sulung daripada dua beradik itu didakwa ada dalam milikannya pornografi kanak-kanak di gereja di Pusat Komersial Sialin, di sini, pada 9 malam, 29 Jun lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati memasuki tandas di tingkat tiga premis dan meletakkan telefon bimbit dalam sampul duit raya, serta membuka kamera untuk merakam selama sejam sebelum mengambilnya.
Pada hari kejadian, seorang kanak-kanak yang menggunakan tandas terpandang sampul itu dan mengambilnya untuk mengetahui objek di dalam sampul selepas terasa panas ketika menyentuhnya.
Apabila dibuka, mangsa mendapati terdapat telefon bimbit dengan kamera masih terpasang lalu melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan.
Siasatan polis mendapati dalam rakaman terbabit terdapat sembilan mangsa terdiri lima kanak-kanak dan empat dewasa yang sedang mandi serta membuang air.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Shahrol Razaat Abdul Rasih turut hadir membentangkan laporan sosial mengenai tertuduh.
Sementara itu, Desmond Tan juga berhadapan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar lucah dan tidak sopan.
Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, namun kes akan disebut semula pada 27 Ogos.