View: 30559|Reply: 0
|
Shah Alam mesra kucing
[Copy link]
|
|
KUCING juga memerlukan kebebasan bermain di luar rumah untuk mengelakkan tekanan.
SEPERTI mana manusia, haiwan kesayangan ramai, kucing juga mahukan kebebasan untuk bermain di luar kediaman.
Jika asyik terperuk sahaja di dalam rumah, ia berisiko menjadi stres dan menjejaskan kesihatan haiwan itu.
Namun, bukan mudah untuk melepaskan si bulus bersantai di luar rumah kerana selain berisiko terlepas lari, ia juga boleh dicuri atau dilanggar kenderaan.
Tampil dengan idea menarik, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan tempat riadah khas, Catopia Taman Kucing Shah Alam untuk haiwan itu bermain dan meredakan tekanan.
Terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor ia dibuka secara percuma kepada umum sehingga hujung tahun ini.
Kawasan seluas 300 meter persegi itu dilengkapi dengan pagar setinggi 1.2 meter untuk keselamatan kepada kucing yang beriadah.
Ia turut dilengkapi dengan peralatan permainan dan memanjat untuk si bulus kesayangan.
Apa yang menariknya, dekorasi sekitar taman kucing yang berwarna-warni dan ceria itu turut menarik perhatian kanak-kanak.
Jabatan Landskap MBSA yang bertanggungjawab menyelenggara taman itu juga menyediakan rumah-rumah yang pelbagai bentuk, jambatan gantung serta terowong untuk si bulus bergembira.
Lebih istimewa, sekitar taman kucing itu turut ditanam rumput 'helikopter' yang dikatakan bagus untuk penghadaman si bulus.
Pemilik kucing Nabilah Abdul Ghani, 35, berkata, dia sudah lama mengimpikan kewujudan taman haiwan itu kerana si bulus juga perlu beriadah.
Kata Nabilah, sebelum ini jika dibawa keluar, dua kucingnya perlu diletakkan di dalam beg khas dan terkurung.
Namun apabila mendapat berita ada taman khas yang dibuka untuk kucing di Shah Alam, saya segera mengajak suami membawa dua anak bulus kesayangan kami untuk beriadah.
"Di sini, kucing kami bebas memanjat dan bermain, ternyata ia lebih menyeronokkan berbanding hanya bersiar-siar dalam bekas yang terkurung.
"Selain itu, tempat air dan makanan kucing juga disediakan pendek kata, semua lengkaplah.
"Harapnya taman rekreasi sebegini akan dibuka di ibu kota pula," katanya yang menetap di Gombak.
Bagi Hairul Mohsin, 27, pula, dia berkunjung ke taman kucing itu hampir setiap minggu untuk melihat kucing-kucing yang dibawa pemilik masing-masing.
Ini kerana kata Hairul, meskipun menyukai si bulus namun disebabkan menyewa di rumah jenis pangsapuri perkhidmatan, dia tidak dapat membela haiwan itu kerana terdapat peraturan yang perlu dituruti.
Katanya, kedudukan taman kucing itu yang strategik di tengah bandaraya berkenaan juga memudah
kan orang ramai mengunjungi taman rekreasi itu.
"Saya akan singgah sebentar melihat kucing-kucing di taman itu pada hujung minggu selepas pulang dari pusat kecergasan.
"Seronok rasanya dapat melihat kucing-kucing yang jinak bermain tanpa ada kekangan.
"Biasanya saya hanya melihat dari jauh sahaja namun ada juga pemilik yang bermurah hati membenarkan saya memegang haiwan kesayangan mereka," katanya
Dalam pada itu, pembukaan taman kucing itu nyata membawa khabar gembira buat warga bandaraya berkenaan.
Ramai yang mengambil kesempatan sempena hujung minggu dan cuti umum untuk membawa kucing kesayangan mereka beriadah di taman rekreasi si bulus itu.
Sementara itu, taman berkenaan mampu memuatkan kira-kira 20 ekor kucing dalam satu-satu masa.
Ia menyediakan 12 elemen menarik seperti kawasan permainan, papan tanda informasi, peta, tempat perlindungan dan banyak lagi.
Taman itu dibuka secara percuma hingga hujung tahun ini dari jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari sebelum bayaran kemasukan dikenakan bermula Januari tahun depan.
MBSA juga menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang membina taman rekreasi kucing berkonsepkan kawasan permainan luar bagi haiwan peliharaan.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|