Alor Setar: "Biasanya arwah abah bawa anak saya yang berusia tiga tahun itu makan di kedai depan rumah, tetapi hari ini dia teringin nak makan roti canai di seberang jalan, sebelum terbabit kemalangan," kata Khashida Ismail, 23.
Dia anak kepada
Ismail Mat, 79, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Kuala Nerang dekat Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, pagi tadi.
Anaknya, Arissa Azim parah di kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Menurut Khashida, dia mengetahui kemalangan yang meragut nyawa insan kesayangan itu selepas dimaklumkan ibunya.
"Ada penduduk kampung yang kenal dengan arwah abah datang ke rumah dan beritahu emak yang abah kemalangan.
"Saya terkejut dan terus ke lokasi sebelum dimaklumkan yang abah sudah meninggal dunia, manakala anak saya menangis kesakitan.
"Saya segera dapatkan anak saya, dan menemaninya ke HSB," katanya yang juga anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu.
Menurut Khashida, sehingga kini anak bongsu daripada dua beradik itu masih tidak sedarkan diri dan perlukan rawatan pakar.
"Banyak perubahan abah sebenarnya. Paling ketara, dia selalu 'buat perangai' sejak beberapa hari lalu.
"Selain itu, saya juga berniaga goreng pisang jika tidak bekerja dan sejak beberapa hari lalu, arwah abah selalu tawarkan diri untuk belanja pelanggan yang datang membeli.
"Tak sangka pula itu petanda dia akan pergi dulu," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Sungai Petani, petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bersama cucu dilanggar kereta dipandu lelaki 28 tahun yang datang dari arah Kuala Nerang menuju ke Alor Setar.
"Pelanggaran mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut kemalangan boleh beri keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Nor Amin Shariffudin di talian 04-7321222 atau 017-4746379.