GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempertimbangkan pembinaan semula Kompleks Penjaja Huma House dan Kompleks Pantai Mas Batu Feringghi di sini, yang musnah dalam kebakaran, semalam.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran, berkata setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai kejadian.
"Kita merancang akan bina semula gerai bagi peniaga menyambung semula perniagaan mereka di tapak asal dan difahamkan kompleks ini sudah dibangunkan sejak tahun 70-an, ada yang dibina oleh kerajaan manakala selebihnya dibina peniaga sendiri.
"MBPP juga mungkin pertimbangkan bagi menjadikan parkir di hadapan lokasi kejadian sebagai tapak perniagaan sementara bagi peniaga meneruskan pencarian pendapatan," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Rajendran bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H'ng Mooi Lye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari ditemui ketika lawatan di kompleks berkenaan.
Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula sekiranya terdapat lokasi lain yang bersesuaian sebagai tapak niaga sementara.
"Pada masa ini kita komited bagi memulihkan keadaan dan fokus bina semula selain pertimbangkan bantuan segera kepada mangsa terbabit.
"Bulan lalu, kita sudah cadangkan kompleks ini dinaik taraf namun malangnya kebakaran berlaku semalam menyebabkan ia perlu dibangunkan semula dengan kos tertentu," katanya.
Semalam, media melaporkan kebakaran yang berlaku berhampiran pantai tumpuan pelancong itu memusnahkan 32 daripada 40 gerai.
Mooi Lye berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau syarikat, sekiranya didapati berlaku kecuaian sehingga tercetus kebakaran.
Peniaga, David Kh'ng Hng Eng, 89, berkata dia kerugian sehingga RM100,000 selepas gerai jualan barangan antik yang diusahakan sejak hampir 35 tahun lalu terbakar.
"Semalam, gerai ini tidak beroperasi dan saya tidak dapat selamatkan apa-apa barangan termasuk koleksi kesayangan iaitu 3,000 kotak rokok lama," katanya.
Peniaga, I Bupalan, 73, pula berkata, api yang cepat merebak dan asap tebal menyebabkan dia hampir pengsan ketika mahu menyelamatkan diri.
Katanya, perniagaan jualan pakaian dan kasut itu diusahakan bagi menambah pendapatan selepas bersara 12 tahun lalu.