LANGKAWI: Kerja menaiktaraf replika Helang di Dataran Lang di sini, sedang giat dilaksanakan membabitkan kos sebanyak RM2.1 juta, termasuk projek pencahayaan dan mengecat persekitaran bagi menjadikan binaan ikonik itu lebih menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata kerja naik taraf replika Helang setinggi 12 meter itu bermula pada 28 Februari lalu dan dijangka siap akhir September ini.
"Dana bagi kerja naik taraf replika Helang yang juga ikonik di pulau ini disalurkan oleh Kementerian Kewangan dan keseluruhan kerja menaik taraf kini mencecah 81 peratus dan dijangka siap mengikut jadual ditetapkan.
"Dataran Lang berkeluasan 4.4 hektar ditutup sejak lima bulan lalu dan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi September ini menjadi acara pertama berlangsung di sini sebaik ia dibuka semula," katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Haslina diiringi timbalannya, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin mengadakan lawatan ke produk pelancongan popular itu untuk meninjau situasi semasa kerja menaik taraf yang sedang dilaksanakan pihak kontraktor.
Haslina berkata, kerja membaik pulih struktur replika Helang, seni bina, mekanikal dan pendawaian elektrik di persekitaran dataran itu bertujuan menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Dataran Lang yang menjangkau usia 29 tahun selepas siap dibina dan mula menjadi mercu tanda Langkawi pada 1995 pernah membuka mata kepada pengarah filem tempatan dan luar negara sebagai lokasi penggambaran filem.
Antara filem Bollywood pernah membuat penggambaran di Dataran Lang termasuk 'Yaadein' pada 2001 dan 'Rishtaa' pada 2003, selain 'Don' (2006).