Alor Setar: Seramai 1,926 penumpang terjejas selepas lapan perjalanan feri Kuala Kedah-Pulau Langkawi-Kuala Kedah dibatalkan, hari ini akibat cuaca buruk dengan ombak setinggi empat meter.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, hanya satu tripmasing-masing dari Kuala Kedah dan Langkawi berjaya meneruskan perjalanan pada jam 7 dan 7.30 pagi tadi.
"Jumlah kesemua yang terkandas itu membabitkan 1,030 penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah dan 896 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi.
"Ia membabitkan perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi pada 1.30 tengah hari, 3.30 petang, 5.30 petang dan 7.30 malam, manakala perjalanan Langkawi ke Kuala Kedah pula pada 2.30 petang, 4.30 petang dan 7 malam," katanya pada sidang media di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.
Menurut Norhafiz, penumpang yang terkandas boleh membuat pilihan sama ada menukar masa perjalanan ke tarikh lain atau menuntut kembali bayaran.
"Selain itu, kita ada menyediakan dua feri tambahan pada 6 petang dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan 8 malam dari Kuala Perlis ke Langkawi, hari ini," katanya yang mengesahkan sebuah feri membawa 259 penumpang terpaksa
berpatah balikke Terminal Jeti Langkawi pada 12.55 tengah hari disebabkan ombak tinggi dan demi keselamatan penumpang.
Sementara itu, pelancong dari Sepanyol, Alejandra Conoura, 48, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan feri yang sepatutnya dinaiki bersama pasangannya pada 3 petang hari ini dibatalkan kerana cuaca buruk.
Katanya, disebabkan itu, dia terpaksa mencari tempat penginapan sementara di sini, sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi esok.
"Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan berhasrat untuk bercuti ke Langkawi. Nak buat macam mana, kami kena sabar," katanya.