Sungai Petani: Remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai 'merajuk' dan lari dari rumah kerana tidak tahan sering diejek mengenai bentuk tubuh oleh rakan di sekolahnya.
Remaja terbabit, Nurshazlyna Rosidi, 14, dipercayai hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Cempaka Bukit Selambau, di sini sekitar 12 tengah hari pada 2 Julai lalu dengan menaiki kereta rakan yang tidak dikenali ahli keluarganya.
Difahamkan, remaja memiliki berat 70 kilogram (kg) serta tinggi 158 sentimeter (sm) itu kali terakhir dilihat memakai kemeja T serta seluar panjang hitam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Nurshazlyna daripada bapanya Rosidi Hanfi, 47, selepas dua hari anak tunggalnya itu tidak pulang ke rumah.
Beliau berkata, bapanya yang juga pemandu lori itu mendapati anaknya tiada di rumah pada 2 Julai lalu kira-kira jam 5.15 petang.
"Bapanya memaklumkan yang dia dapat berhubung dengan anaknya melalui panggilan telefon dan cuba memujuknya supaya pulang namun remaja itu tidak memaklumkan di mana dia berada.
"Nurshazlyna juga berjanji akan pulang ke rumah setiap kali dihubungi keluarga tetapi tidak pulang sehingga hari ini.
"Remaja itu juga turut memberitahu ingin hidup bebas, " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, sehingga kini pihak polis sedang berusaha mencari remaja terbabit sebaik menerima laporan yang dibuat oleh bapanya.
"Sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Tuan Ramlah Tuan Ismail di talian 019-9924025 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.