CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15222|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Mereka ada kad UNHCR'

[Copy link]
Post time 23-7-2024 08:41 AM | Show all posts |Read mode
'Mereka ada kad UNHCR'


Zuhainy Zulkiffli[email protected]





KUDA yang diselamatkan ketika serbuan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disyaki dibawa daripada Pusat Lumba Kuda berhampiran kerana kebanyakannya mempunyai cap nombor di bahagian badan haiwan terbabit. FOTO Ihsan MBPP





Georgetown: Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah mengambil lebih 50 tindakan penguatkuasaan sepanjang Januari hingga Mei lalu terhadap warga asing yang menjalankan perkhidmatan aktiviti berkuda kepada pengunjung di pesisir pantai sekitar Batu Feringghi di sini.

Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan aktiviti berkenaan sejak Januari lalu.

Katanya, risikan dan aduan juga mendapati banyak semi treler kandang atau float kuda membawa masuk haiwan berkenaan di kawasan itu dan bilangannya juga bertambah daripada lima kepada 20 ekor.

"Bagaimanapun, tindakan yang dapat diambil hanya merampas pelana atau pelapik duduk kuda pada ketika itu kerana tidak mempunyai kenderaan khas mengangkut kuda.

"Tangkapan juga tidak dapat dibuat terhadap warga asing itu walaupun tindakan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana status mereka sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya dihubungi di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan tindakan sekumpulan warga asing yang seolah-olah tidak serik dan terus menawarkan perkhidmatan aktiviti berkuda kepada pengunjung di pesisir pantai sekitar Batu Feringghi di sini, walaupun kerap diserbu.

Difahamkan, mereka mengambil upah menawarkan perkhidmatan itu menggunakan kuda milik majikan warga tempatan.

Mengulas lanjut Noorazrein berkata, aktiviti kuda dan warga asing didapati semakin bertambah di kawasan itu selain turut mengubah modus operandi perniagaan.

Katanya, jika belum ini mereka akan memimpin tali kuda secara beriringan, kini warga asing berkenaan akan duduk di atas kuda bagi mendapatkan pelanggan kerana lebih mudah bagi melarikan diri sekiranya terdapat anggota penguat kuasa di lapangan.

"Ini antara cabaran penguat kuasa bagi menangkap kuda berkenaan selain memastikan keselamatan orang awam terpelihara kerana khuatir haiwan itu akan bertindak agresif.

"Sebelum ini ketika kuda itu dirampas, ia tidak boleh menaiki lori jabatan, sebaliknya perlu menaiki kenderaan khas iaitu float kuda.

"Kita cuba menyewa daripada pemilik float di sekitar utara namun semuanya enggan kerana mereka juga turut terbabit dengan proses pemindahan kuda itu ke Batu Feringghi.

"Kami kemudian menempah khas float kuda khas dari Kelantan bagi pelaksanaan operasi tangkapan kuda dan ia diterima pada April lalu," katanya.



KANDANG kuda haram diserbu MBPP yang tidak bersesuaian selain pengaliran kumbahan tidak lancar. FOTO Ihsan MBPP

Noorazrein berkata, pihaknya sudah mengubah strategi tindakan dengan menjalankan penyamaran dan serbuan menerusi Op Trojan yang mana lima kuda berjaya ditangkap namun hanya dua berjaya dibawa pulang, manakala tiga lagi kuda terlepas kerana bertindak agresif.

"Operasi yang dijalankan sebanyak tiga kali pada Mei lalu itu menempatkan dua kuda terbabit di paun Unit Veterinar MBPP di Jalan Sungai.

"Kebanyakan warga asing ditahan berusia 18 hingga 40 tahun dan semuanya memiliki kad UNHCR atau hanya mempunyai surat daripada UNHCR yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya," katanya.

Noorazrein berkata, tiada tangkapan dibuat kerana MBPP tidak boleh membuat tangkapan tetapi hanya menahan, namun dilepaskan berikutan status sebagai pemegang kad warga UNHCR.

Katanya, semua warga asing itu bekerja dengan dua atau tiga rakyat tempatan dan memberi nama samaran ketika disoal anggota penguat kuasa malah ada antaranya yang tidak boleh berbahasa Melayu.

MBPP juga sudah kenal pasti beberapa lokasi kandang haram bagi menyimpan kuda dan menerusi siasatan, didapati kandang itu tidak sesuai dan ada haiwan yang cedera.

"Kuda ini bukan sahaja dari dalam Pulau Pinang tetapi ada juga dari Ipoh, Perak yang mana pemilik sudah tidak mahu menjaganya.

"Ada Pusat Lumba Kuda sudah ditutup, mereka tidak mahu menanggung kerugian lalu menjadikan kuda sebagai tunggangan kepada pengunjung.

"Pada masa ini, kami masih lakukan semakan status tanah kandang terbabit bagi langkah seterusnya," katanya.



ANTARA kuda ditempatkan di kandang haram yang mengalami luka. FOTO Ihsan MBPP
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di [email protected]



Disiarkan pada: Julai 23, 2024 @ 7:00am






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 11:14 AM GMT+8 , Processed in 0.048749 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list