ALOR SETAR: Seorang pemandu bas persiaran ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja dalam operasi khas di Plaza Tol Hutan Kampung, arah utara, di sini, awal pagi tadi.
Lelaki tempatan berusia 46 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu ditahan jam 4 pagi selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Penahanan itu dilakukan dalam Ops Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam 2024 selama dua hari bermula semalam yang disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, AADK Kedah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kedah.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata pemandu bas itu ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Thailand dengan membawa 42 penumpang.
"Bas persiaran itu bagaimanapun dibenarkan meneruskan perjalanan dengan bantuan pemandu bas kedua," katanya pada sidang media di Plaza Tol Hutan Kampung, di sini hari ini.
Operasi khas berkenaan bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam termasuk pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi arahan ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya selain Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).
Stien berkata operasi itu memfokuskan kepada pemeriksaan bas ekspres dan bas persiaran serta kenderaan pelancongan yang sering mengabaikan peraturan dan membahayakan penumpang.
Katanya, sepanjang operasi itu, JPJ turut menjalankan pemeriksaan ke atas 1,116 kenderaan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 138 kenderaan dikenakan tindakan manakala 329 notis pelbagai kesalahan turut dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan," katanya.
Stien berkata MOTAC turut melakukan pemeriksaan ke atas 72 kenderaan persiaran yang membabitkan 1,436 penumpang.
Katanya, enam notis dikeluarkan mengikut Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 [AKTA 482) iaitu tiga notis di bawah Peraturan 6 (1) (i) (iii) (tidak menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong) dan tiga lagi notis di bawah Seksyen 20(1) (tidak menggunakan kenderaan pelancongan yang dilesenkan).