Langkawi: Lebih 1,000 kenderaan sewa tidak berlesen terutama kereta dikesan beroperasi di Pulau Langkawi sekali gus dibimbangi mendatangkan masalah kepada penyewa terutama pelancong.
Ini kerana operasi secara haram kenderaan itu didapati menyalahi undang-undang, tidak diselenggara dengan baik dan mangsa perlu menyelesaikan sendiri masalah jika berlaku kejadian tidak diingini.
Tinjauan wartawan Harian Metro selepas mendapat maklumat, terdapat sekurang-kurangnya lapan stor dengan setiap sebuah stor menempatkan antara 100 hingga 300 kenderaan sewa tidak berlesen di kawasan kampung berhampiran jeti di pulau itu.
Stor itu dikawal ketat oleh penjaganya apabila wartawan turut berdepan detik cemas apabila diekori individu berkenaan.
Malah, wartawan turut diekori oleh beberapa penunggang motosikal sejauh kira-kira satu kilometer dari sebuah stor sebelum berjaya meloloskan diri.
Menurut sumber, kegiatan menyewakan kenderaan tanpa permit dijalankan oleh penduduk tempatan demi mengaut keuntungan mudah.
"Pemilik akan serah kenderaan kepada 'ulat' dan mereka akan uruskan 'semua' dengan mengambil untung 30 hingga 50 peratus untuk setiap kenderaan yang berjaya disewakan.
"Ada juga yang ambil RM10 sehari untuk setiap kenderaan yang berjaya disewakan. Setiap 'ulat' akan uruskan sekurang-kurangnya 20 kereta dan ada hingga 100 kereta seorang," katanya.
Menurutnya, terdapat pemilik kenderaan yang terbabit dalam kegiatan itu adalah penjawat awam.
Katanya, kebanyakan kenderaan berkenaan juga didakwa tidak menjalani rutin servis yang ditetapkan.
"Risiko sewa kereta tiada lesen (permit), mereka (ulat) jarang servis. Kalau tak, lagi mahal kos penyelenggaraan. Susah nak buat untung banyak," katanya.
Menurutnya, 'ulat' berjaya meraih pendapatan sekitar RM10,000 sebulan.
"Ikut musim juga nak dapat untung banyak, kalau hari-hari biasa sebiji kereta boleh dapat untung RM1,000 sebulan," katanya.
Katanya, penyewa terpaksa berdepan risiko jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Kalau berlaku kemalangan, penyewa tidak dapat claim (tuntut) apa-apa (daripada syarikat insurans). Mungkin terpaksa keluarkan duit lagi sebab terpaksa menanggung kos membaiki kenderaan.
"Selalunya 'ulat' akan lari sebab tak nak berdepan dengan polis atau JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan)," katanya.