Georgetown: Penjual kuih dihukum penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan sengaja menyebabkan kematian kucing, 31 Mei lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizul Azlan Ridzuan, 47, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah apabila kes disebut semula.
Pada 5 Jun lalu, tertuduh
mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan melakukan perbuatan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kematian kucing dengan memasukkan ke dalam guni dan campak dalam parit pada 8.30 pagi, 31 Mei lalu di Kota Giam, Jelutong.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R Puran.