CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: kambeng_masam

ZULAIKHA [U] Last updated was on 7/7/2013

[Copy link]
 Author| Post time 7-7-2013 08:23 AM | Show all posts
Harris dan rakan-rakan sepasukannya kini sedang sibuk bersiap-siap di tepi padang sekolah sebelum memulakan perlawanan bolasepak persahabatan menentang sekolah yang lain pula. Minggu itu yang sibuk dengan jadual perlawanan persahabatan adalah juga merupakan persiapan pasukan sekolahnya untuk mengejar kejuaraan peringkat MSSD.

Harris cuba menjarakkan dirinya daripada bercampur dengan orang lain. Dengan muka yang sedikit kemerahan seperti menahan sakit, dia melangkah beberapa meter dari situ dengan menjinjing sepasang kasut bolasepak di tangan kanannya. Sebaik sahaja sampai di suatu sudut yang dirasakan sesuai, dia melepaskan kasut-kasut tadi ke atas rumput. Sambil menoleh ke kiri dan kanan dia melurutkan seluar trek dari pinggang hingga ke pergelangan kaki. Seluar pendek pasangan kepada baju jersi bolanya sudah tersedia dipakai awal-awal dari rumah lagi. Dia melabuhkan punggungnya ke atas rumput dan melepaskan keluhan panjang seperti perasaan lega.

Dengan membelakangkan jurulatih serta rakan-rakan yang lain, Harris membelek-belek kaki kanannya yang telah disepak dek Zulaikha tengahari semalam. Ada kesan lebam berwarna kebiru-biruan di bahagian tulang kering. Jarinya menekan-nekan kawasan lebam yang sudah dilumur dengan minyak gamat terlebih dahulu awal pagi tadi. Kesan lebam itu tidaklah seberapa mana pun sakitnya berbanding dengan buku lali kirinya yang sedang berbalut dengan kain pembalut elastik. Berkerut-kerut muka Harris mengaduh cuba menahan bisa kesakitan apabila dia cuba menggerakkan pergelangan kaki kirinya. Tidak pula tersangka olehnya akibat cuba mengelak dari kakinya disepak lagi oleh Zulaikha, dia tersalah langkah dan terjatuh dari tangga sekolah tengahari semalam sehingga mengakibatkan kakinya terseliuh. Lebih menyakitkan hatinya ialah Zulaikha seperti tidak perasankan dirinya yang terjatuh akibat cuba mengelak sepakan setelah gadis itu ditarik pergi oleh Amir meninggalkan tempat itu. Dan sekarang dia terpaksa merahsiakan kecederaannya daripada jurulatih dan rakan-rakan lain yang sentiasa menanti peluang untuk beraksi menggantikan posisinya kalau dia dipaksa keluar padang. Dia bimbang kalau-kalau jurulatihnya tahu nanti sudah tentu dia tidak akan dibenarkan beraksi sepenuh masa sehingga perlawanan tamat.
Harris melihat-lihat sekeliling memerhatikan beberapa kumpulan penonton di semua sudut luar padang. Matanya cuba mencari manakala fikirannya mengagak yang mana satukah di antara mereka itu adalah pencungkil bakat bolasepak.
         
“Harris, game pagi esok ada dua tiga orang talent scout wakil dari MSNT akan datang tengok match. Kalau betul-betul nak jadi state player…inilah masanya. Cikgu yakin awak akan terpilih main untuk state. Skill, dribble, ground shoot awak cukup bagus…malah hebat. Tapi kena ingat, bolasepak main secara team work….jangan bolot bola sorang-sorang. Makin lama awak pegang bola...makin geram defender lawan nak bentes kaki awak. Kaki kena jaga…nak pakai lama. “
Itulah pesanan dari jurulatihnya pagi semalam jika mahu dipilih oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu; ataupun singkatannya  MSNT untuk bermain dengan pasukan negeri bawah umur lapan belas tahun. Tersenyum lebar dia ketika mendengarkan khabar baik itu.

“Dekat tangga pun kaki boleh cedera cikgu…” Harris mengeluh sendirian sambil mengenangkan wajah Zulaikha ketika kakinya disepak semalam.

“Apasal lah nasib aku ni malang je bila dekat dengan budak perempuan tu..haishh!” getus hatinya sambil menggaru-garu belakang lehernya kesal kerana melayan ledakan kemarahan Zulaikha tengahari semalam. Dia juga berasa sedikit kesal kerana menengking gadis itu terlebih dahulu. Jika tidak kerana itu tentu kini kakinya tidak menjadi mangsa. Dia sendiri pun tidak faham kenapa harus dia menengking gadis itu pagi semalam. Sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu apa reaksi yang sepatutnya diberikan tatkala melihat Zulaikha yang berada dalam keadaan cemas begitu dengan hidungnya berdarah pula. Sedangkan dia sudah berjanji dengan diri-sendiri akan cuba melupakan Zulaikha. Anggap semuanya tiada apa-apa seolah Zulaikha tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah mereka. Ya, seperti sedia kala. Kembali kepada keadaan seperti yang sepatutnya; kata Tengku Shaqirah. Itu yang membuatkan kakinya terhenti dari mendekati gadis itu pagi semalam dan juga hari-hari dan minggu-minggu yang kelmarin semenjak mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Ketika sedang mengikat tali kasut, ingatannya kembali memainkan perbualan dengan ibunya; malam selepas Zulaikha berpindah keluar dari rumah mereka. Di mana ketika itu Datin Suraya datang menjengah ke bilik tatkala dia hampir hendak tidur.
_________________________________
“Harris sukakan Ika?”
“Hishh..mengarut la mama dengan soalan pelik-pelik ni.”
Tersenyum Datin Suraya menyambung, “Harris rasa… suasana rumah ni lebih baik tanpa Ika ke?” Jelas ibunya cuba memancing perbualan yang mungkin akan pergi lebih jauh kedalam.
“Kalau mama rasa Ika tu patut stay sini kenapa biarkan aje dia pergi?” Harris seperti sedikit melepaskan geramnya namun tidak meninggikan suara, lebih kepada perasaan tidak berpuas hati.
Datin Suraya memadamkan senyumannya. “Papa dan mama…fikir ini adalah untuk kebaikan Ika. Harapnya dia kat sana lebih aman. Dekat sini banyak sangat gangguan.” Wajah Datin Suraya mempamerkan kekesalan kerana mereka suami isteri sedar Zulaikha banyak menerima kecaman dari anak perempuan sulung mereka; Shaqirah. Dia mendapat perhatian Harris yang kini bingkas duduk seperti ingin memujuk ibunya yang bermuka sedih— atau dia mungkin mulai bertambah minat untuk berbual mengenai itu.
“Ma.. mama memang anggap Ika tu macam anak sendiri kan?”
Ibunya menoleh dan memandang tepat ke matanya. Datin Suraya mengganguk perlahan. “Mama sayangkan dia sama macam mana mama sayangkan anak-anak mama yang lain, tak lebih tak kurang.” Datin Suraya menyambung, “Harris anggap Ika tu macam adik sendiri jugak kan?” kali ini Harris teragak-agak untuk menjawab.
Datin Suraya ketika itu seperti dapat membaca akal fikiran anak terunanya. Dia hanya tersenyum tidak perlu menantikan jawapan dari Harris. “Mama suka.” Kali ni Datin Suraya tersenyum lebar dan mengamati wajah Harris yang serta-merta berubah. “Tapi papa tak.” Datin Suraya berterus-terang sambil mengusap rambut lurus anaknya. “Papa tu lebih suka kalau Ika ‘kekal’ sebagai adik-beradik Harris aje.”  Tangan ibunya kini mengusap-usap pipi Harris mempamerkan perasaan kasihan.
“Kenapa? Sebab Ika anak angkat? Sebab bukan anak raja?”, Harris membuat wajah serius.
“No. Papa tu lebih suka Harris fokus dengan pelajaran, belajar betul-betul sampai masuk universiti. Papa dah planned nak antar Harris study kat oversea sama tempat macam papa dulu. Then bila Harris dah balik sini, bolehlah handle bisnes papa.” Terang Datin Suraya.
“Wait! Harris tau papa pernah cakap nak suruh kerja dengan dia, nanti kata dia Harris boleh take over bisnes. Itu bukan impian Harris. Tapi yang pasal study kat oversea?! Harris tak tau apa-apa pun?! Kenapa tak hantar Kak Shaq je pergi? Harris tak nak mama!”
Kedua-dua mereka senyap sehinggalah Harris menambah lagi, “By the way, kalau Harris betul-betul sukakan Ika pun…apa kaitannya dengan semua tadi tu?” Datin Suraya memeluk dan menggosok-gosok bahu anak lelakinya seakan memujuk. “Just fokus pada pelajaran dan apa yang Harris minat, selain dari bercinta. Lupakan dulu soal perasaan. Ini bukan masanya. Please buat ini untuk mama and papa? Boleh? At least sampai habis study? Hmm?”
Harris tunduk berfikir sejenak. Tiada ada masalah untuk menuruti semua kehendak ibubapanya, cuma kini dia sudah mulai rindu akan kelibat Zulaikha. Namun, dia tidak berasa senang dengan perasaan yang sebegitu. Jiwanya seolah kekurangan sesuatu. Seseorang yang biasa dilihat, selalu dibuat bergurau walaupun dibalas dengan wajah yang garang, kadang-kadang bermuka sedih, dan hanya ketawa apabila bergurau senda dengan adik dan sepupunya kini sudah tiada semua itu lagi. Terasa juga seolah dia berada di sebelah pihak yang jahat, disamakan dengan kakaknya. Nah sekarang, mengapa tidak untuk dia cuba melupakan Zulaikha? Itu tentunya perkara yang mudah. Harris memandang ibunya dan mengangguk.
“Janji?” Datin Suraya inginkan kepastian sambil mengeluarkan jari kelingkingnya meminta Harris berjanji melupakan soal perasaan dan cinta. Harris menyahut janji itu dengan membalas pautan jari kelingking ibunya sambil tersenyum pahit.
____________________________________________

Harris mengomel tanpa menyedari salah seorang rakannya datang menghampiri dari belakang. Rakannya itu menjengahkan muka dari atas melihat kaki Harris.
“Eh..? Kenapa dengan kaki kau berbalut tu Harris? Ni kes yang kau jatuh tangga semalam tu eh” rakannya menegur.
Harris memandang ke atas lalu dia menarik rakannya itu untuk duduk bertinggung di sebelah.
Rizal yang berambut kerinting bertubuh kurus dan berumur setahun lebih tua dari Harris itu menjadi lebih hairan. Dia adalah rakan sepasukan yang paling rapat dengan Harris. Malahan posisinya selaku ‘midfielder’ amat selari dengan rentak permainan Harris ketika pasukan mereka mengejar jaringan gol. Jurulatih mereka juga pernah menyifatkan Rizal adalah ‘playmaker’ yang secocok dengan corak larian pantas Harris kerana disebabkan pemain remaja itu mampu melintangkan hantaran bola tepat ke kaki Harris tanpa terperangkap dengan jerat ‘offside’ dari benteng lawan walaupun dari sudut yang sukar dan dia cukup konsisten. Mereka berdua digelar ‘kembar’ di padang kerana mempunyai tahap persefahaman dan sinergi yang tinggi.
“Ishh! Rizal, kau jangan bising-bising lah. Diam-diam je okay?” Harris dengan suara tegas namun separa berbisik bimbang jikalau didengari orang lain.
Rizal tersengih-sengih hanya menggangguk sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir; isyarat supaya menutup mulut. “Kau okay ke tak ni? Boleh main tak?” Tanya Rizal.
Harris tersenyum kelat menjawab, “Agi idup agi ngelaban; kata orang Iban.” Dia merujuk kepada motto pasukan bolasepak Sarawak yang memang terkenal dengan semangat tidak mudah menyerah kalah. Harris cepat-cepat bersiap tanpa berlengah lagi. Rizal hanya tersenyum dan menepuk-nepuk bahu rakan segandingannya itu kagum dengan semangat Harris yang pantang berundur diri dari masalah.
“Kalau kaki kau rasa sakit sangat jangan dipaksa, nanti karang makin teruk jadinya.” Tegur Rizal prihatin.
“Takpe, kaki kiri je ni. Aku masih boleh berlari dan rembat bola. Kau hantar je bola ke depan biar aku kejar” Jawab Harris sambil tersengih cuba menyembunyikan kesakitan. Rizal sedikit menggelengkan kepala dan mencuit buku lali Harris yang berbalut itu. Harris terjerit kecil serta cepat-cepat menepis tangan Rizal.
“Kau kalau rasa nak mampus kau pegang lah lagi!” Harris memberikan amaran dengan suara yang diperlahankan sambil mukanya berkeriut menahan sakit. Rizal hanya ketawa kecil kerana tahu Harris itu sebenarnya masih benar-benar sakit dan tidak sepatutnya dibenarkan bermain.
“Boleh tahan jugak ya awek semalam tu sepak kaki kau?” Rizal dengan riak muka yang nakal cuba ‘mencucuk’ Harris lagi dan menunggu respon. Namun Harris hanya mendiamkan diri.
“Harris, kau tak patut main dalam keadaan macam ni. Elok-elok sakit sikit aje nanti karang makin parah pulak.” Rizal memberi peringatan.
Harris memandang tepat ke wajah kawannya yang prihatin itu sambil tersenyum dan berkata, “Kau tau tak, masa depan aku sebagai pemain bola ternama mungkin bermula dari sekarang. Aku takkan menyerah kalah sebelum aku cuba. Biar kaki aku patah, biar aku tak boleh berjalan lagi sampai bila-bila, aku takkan tahu selagi aku belum cuba.” Harris berkata dengan penuh bersemangat sambil memerhatikan sekumpulan pencungkil bakat bolasepak negeri di sisi padang. Rizal turut memerhatikan kumpulan itu namun dia hanya menggelengkan kepala tanda risau.
“Harris, keluarga aku orang susah, impian aku pun nak jadi pemain hebat dan bintang macam Eric Cantona, tapi aku takkan korbankan segala-galanya semata-mata untuk kejar impian aku tu. Kau ada segala-galanya untuk masa depan kau, tapi kenapa macam terdesak sangat  nak ubah masa depan kau tu?” Rizal kurang bersetuju dengan kata-kata semangat Harris tadi disebabkan situasi sekarang.
Harris tersenyum sinis, “Rizal, mungkin sebab impian kau setakat “Eric Cantona”, impian aku besar daripada itu lagi. Ia akan menentukan seluruh hidup aku selepas ni. Kenapa? Kau nak cakap aku anak orang senang, aku tak perlu kejar cita-cita aku? Dah! Kalau kau betul kawan baik yang risaukan pasal aku, you’d better watch my back kat padang nanti okay?”. Harris menyeringai tersenyum memandang wajah Rizal yang masih kurang senang dengan pendirian Harris. Dia cuba meyakinkan kawannya itu yang dia masih mampu untuk bermain dan perlawanan penting itu benar-benar dinantikannya sekian lama.

Harris merasakan ini adalah peluang terbaik baginya untuk menonjolkan diri. Inilah masa yang terbaik untuk dia menunjukkan bakat di atas padang agar terpilih untuk bermain mewakili peringkat negeri. Ingin mewakili pasukan Malaysia pada masa hadapan pula adalah impiannya.
Populariti yang diterima melalui bakat, latar belakang dan rupanya turut menjadikan Harris seorang yang ego. Zulaikha menggelarnya super-ego. Aura popularitinya turut menempiasi sekolah-sekolah lain di daerah itu. Sebut sahaja nama Tengku Muhammad Harris bin Tengku Sulaiman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Marang, rata-rata pelajar tingkatan tiga ke atas akan terus mengenalinya. Terutamanya pelajar-pelajar perempuan yang memandangnya sebagai seorang putera kacak yang hebat dalam acara sukan dan statusnya sebagai anakanda saudara kepada Sultan Terengganu ketika itu.
Dia amat gemar bersukan sehinggakan pelajarannya agak sedikit terjejas  namun tidak pula jauh ketinggalan. Memandangkan tahun itu merupakan tahun ‘honeymoon’ kerana berada di dalam tingkatan empat, dia merasakan adalah tidak mengapa jika tumpuan terhadap pelajaran dilupakan sementara. Disebabkan itu jugalah telinganya tidak dapat berehat dari mendengar bebelan Tengku Sulaiman yang kerap berpesan agar bersiap sedia awal-awal untuk menghadapi peperiksaan SPM pada tahun hadapan.
Harris tidak bersetuju dengan pendapat bapanya yang sukan tidak akan menjamin kejayaan hidup seseorang. Prinsip Tengku Dato’ Sulaiman yang lebih menjurus kepada dunia korporat dan berfikiran seperti kapitalis barat itu langsung tidak disetujuinya. Disebabkan dunia perniagaan, bapanya sentiasa sibuk dengan urusan sendiri yang dirasakan melebihi dari urusan keluarga. Dia merasakan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini bapanya menjadi terlalu sibuk di luar.
Selesai saja Harris memakai kasut bolasepak, dia bingkas berdiri dan berlari setempat untuk memanaskan badan. Rizal meninggalkannya dan pergi mendapatkan rakan-rakan yang lain. Harris menghayun-hayun perlahan kaki kirinya yang masih terasa sakit— cuba untuk membiasakan kakinya dengan gerakan lincah. Secara jujurnya di dalam hati, Harris sedar tahap kesediaannya untuk perlawanan hari ini mungkin hanya tidak sampai lima-puluh-peratus sahaja.
        ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-7-2013 10:16 PM | Show all posts
Sian Harris

Next!
Reply

Use magic Report

Post time 5-2-2014 03:35 PM | Show all posts
lama jugak tak berkesempatan ke sini... Go Harrisssss!!!
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 08:33 PM GMT+8 , Processed in 0.521539 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list