Baling: "Saya tengok wajah arwah seperti tersenyum dan jernih walaupun sedikit bengkak ketika hendak memandikannya (petang semalam) di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Ketika itu saya sempat gosok badannya dan terkenangkan saat ketika menjaganya waktu dia kecil dahulu... Arwah tak banyak meragam dan sangat manja," kata Siti Fadilah Hashim, 46.
Siti Fadilah adalah bekas pengasuh
Muhammad Akil Syauqi, 3, yang meninggal dunia akibat makan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Ahad lalu.
Menurut Siti Fadilah, dia hanya sempat menjaga kanak-kanak itu beberapa bulan sehinggalah dia berusia setahun dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, lahir.
"Saya mula jaga Akil ketika dia berusia enam bulan kerana ibunya bekerja kilang tetapi selepas adiknya lahir, saya tidak lagi menjaganya.
"Arwah sangat manja dengan saya. Dia panggil saya 'Mama', malah sepanjang menjaganya, saya dan suami akan membawanya berjalan termasuk ibunya jika dia cuti.
"Tetapi itu semua hanya tinggal kenangan buat saya malah terkejut apabila dimaklumkan arwah kritikal selepas dia dan adiknya makan keropok beracun itu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.
Siti Fadilah berkata, dia mengetahui Muhammad Akil Syauqi dan adiknya makan keropok beracun itu pada hari kejadian Ahad lalu tetapi tidak berkesempatan untuk menziarahinya di Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika itu.
Katanya, namun sebaik mengetahui keadaan arwah semakin kritikal, dia terus ke HPP semalam namun sedih apabila dimaklumkan bekas anak jagaannya itu sudah meninggal dunia.
"Saya sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap Muhammad Akil seperti anak sendiri meskipun sudah mempunyai lima anak.
"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu ketika ibunya membawa dia datang ke rumah.
"Saya juga berharap adik arwah, Muhammad Luth kembali pulih walaupun dilaporkan dia juga kritikal dan sedang dirawat di HPP," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus di kebun milik penduduk di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dikatakan makan keropok itu yang disangkut pada dawai pagar rumah jiran mereka kira-kira 50 meter dari rumah.
Bagaimanapun, Muhammad Akil Syauqi disahkan meninggal dunia jam 8.40 pagi ketika dirawat di HPP dan
selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini jam 9.45 malam tadi.