KEADAAN motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Besar di Kluang Johor. Foto Viral
Kluang: Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan, di Jalan Besar di sini, kira kira 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Firdhous Sulaiman, 31, dan rakannya, Nurul Syafika Atira Zakaria, 25.
"Polis terima makluman daripada orang awam berkaitan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal terbabas sendiri di Jalan Besar Kluang.
"Hasil siasatan awal mendapati motosikal dari arah Jalan Besar Kluang menghala ke Bulatan Batu Pahat - Mersing.
"Sampai di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha MT-09 disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan.
"Pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala penunggang meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kedua mangsa tidak bekerja dan hasil semakan mendapati, motosikal berkenaan adalah milik rakan penunggang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
|