"Butiran dalam SOP ini bersifat teknikal, sebagai contoh sebelum ini HSO selama lima hari di rumah (positif Covid-19) dan kemas kini gejala dalam MySejahtera. Apabila semakan semula nanti, ia mungkin berubah, kita tunggu perinciannya," katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2024 Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia di AEON Mall di sini.
Media sebelum ini melaporkan KKM memutuskan rakyat Malaysia dalam fasa hidup bersama virus Covid-19 dan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet peringkat KKM yang diadakan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, menerusi garis panduan ini bermulanya era bahawa virus Covid-19 seperti juga dengan virus lain seperti Influenza dan lain.
"Sebelum ini, kita berada dalam transisi endemik dan sekarang ini kita berada dalam transisi hidup dengan virus.
"Kita sudah tamat soal pandemik dan akan ambil sikap untuk memulakan fasa 'living with the virus' (hidup bersama virus)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan rakyat negara ini yang mengalami masalah berat badan berlebihan masih pada tahap yang membimbangkan apabila seorang daripada dua individu mengalami obesiti.
Menurutnya, seorang daripada enam orang dewasa menghidap diabetes.
"Lebih dari separuh orang Malaysia dewasa terdedah kepada risiko mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat masalah berlebihan berat badan dan obesiti yang tidak terkawal.
"Statistik menunjukkan prevalen berat badan rakyat Malaysia pada 2011 merekodkan 44.5 peratus dan meningkat kepada 54.5 peratus pada tahun lalu.
"Justeru, melalui program ini, kita berharap ia dapat membantu mengubah minda serta meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan," katanya.
Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa KKM sedang menangani tabiat pengambilan gula secara berlebihan dalam kalangan rakyat negara ini menerusi Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030.
"Pelan ini dirangka bagi memastikan aktiviti yang lebih agresif dan bersasar dapat dilaksanakan secara bersepadu di pelbagai peringkat masyarakat," katanya.