CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7134|Reply: 0

[Pulau Pinang] 1 lagi arca manusia ditemukan di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras

[Copy link]
Post time 26-6-2024 02:35 PM | Show all posts |Read mode
1 lagi arca manusia ditemukan di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras


Zuhainy Zulkiffli[email protected]




ROSLAN (kiri) diiringi Abdul Rahman (dua dari kiri) melihat relik arkeologi Bukit Choras. FOTO Danial Saad




Georgetown: Pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) menemukan satu lagi arca berbentuk manusia yang lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Penyelidikan arkeologi Fasa III itu mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras menerusi seni bina unik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman berkata, selain itu, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti sudah dijalankan terhadap struktur candi serta blok laterit yang ditemukan.

Katanya, penemuan penting di tapak adalah sebuah arca Buddha bersaiz manusia diperbuat daripada 'stucco' iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemukan di dinding utara candi berkenaan.

"Berbeza dengan arca yang ditemukan ketika Fasa I dan Fasa II, arca kali ini lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, rias wajah dan pakaian dapat dilihat dengan jelas.

"Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah prasasti (batu bertulis) Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah," katanya pada sidang media di USM, hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohamad Muda Bahadin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, sebagai langkah keselamatan dan penyelidikan lanjutan, relik itu dibawa keluar dari tapak di Bukit Choras dan ditempatkan sementara di makmal PPAG USM bagi kerja konservasi secara menyeluruh.

Katanya, kajian perbandingan antara arca yang baru ditemui itu dengan arca lain terutama dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberi gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan daripada segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar.

"Penemuan sama ada daripada prasasti berbahasa Sanskrit memperlihatkan kepentingan dan signifikan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang penting.

"Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan Fasa III, tiga prasasti sudah ditemukan di Bukit Choras," katanya.

Menurut Roslan, penemuan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras pasti membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.

Katanya, penyelidikan itu juga menegaskan komitmen yang diberi oleh MOTAC menerusi JWN dan USM dalam menghasilkan data baharu bagi memperkayakan sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.

"Ada lagi tapak yang dijangka akan kita temukan dan kini kita beri USM masa bagi buat kajian mengenai mantra yang ada atau bahan yang digunakan dalam pembuatan relik itu, jadi biarlah ia diserah kepada pakar.

"Apabila sudah lengkap nanti, ia boleh dibuka kepada rakyat dan pelancong tetapi kita belum tentukan sama ada mahu pulangkan (penemuan) ke Bukit Choras atau bangunkan bukit itu sebagai produk baharu Arkeo-Tourism seperti Angkor Watt di Cambodia atau Borobudur di Indonesia," katanya lagi.

Pada 22 September tahun lalu, Harian Metro melaporkan mengenai penyelidik tempatan yang menemukan dua arca patung hampir lengkap dan prasasti beraksara Pallava abad kelapan Masihi atau kira-kira 1,200 tahun lalu di kawasan Tapak Arkeologi Bukit Choras.

Ketua Penyelidik Dr Nasha Rodziadi Khaw dipetik berkata, dua arca yang ditemukan itu dalam keadaan haus dan pecah atau tidak sempurna.



Disiarkan pada: Jun 26, 2024 @ 2:16pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 12:44 PM GMT+8 , Processed in 0.042077 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list