Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya semakan menyeluruh dan pengecilan skim pencen dilakukan terhadap Menteri dan wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia kini sedang menghadapi cabaran ekonomi ketara serta kekangan belanjawan dan memperuntukkan dana besar kepada pencen bagi wakil rakyat yang mengalihkan sumber daripada bidang kritikal seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
Katanya, memetik kata-kata Datuk Armizan Mohd Ali ketika menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)), wakil rakyat boleh menerima pelbagai pencen bergantung kepada perkhidmatan mereka di bawah akta, ordinan atau enakmen yang berbeza.
"Misalnya, wakil rakyat negeri boleh menerima pencen di bawah ordinan negeri serta pencen lain sebagai Ahli Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
"Keadaan ini menyerlahkan keperluan bagi penilaian semula struktur pencen untuk memastikan keadilan dan kemampanan," katanya pada kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, ia boleh dmulakan dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, terutamanya pada Jadual Pertama yang berkaitan dengan saraan Ahli Parlimen.
Katanya, antara yang perlu diberi perhatian ialah, penjawat awam mestilah melengkapkan perkhidmatan selama 30 tahun bagi menerima pencen penuh dan Ahli Parlimen layak mendapat pencen bagi seumur hidup selepas berkhidmat hanya selama 36 bulan.
"CAP mencadangkan Ahli Parlimen perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 48 bulan perkhidmatan yang boleh dikira sebelum layak mendapat pencen seumur hidup.
"Skim pencen bagi Ahli Parlimen distrukturkan ke dalam sistem bertingkat yang menyediakan tahap faedah berbeza berdasarkan tempoh perkhidmatan.
"Sistem ini direka bagi menawarkan faedah persaraan kepada Ahli Parlimen dan menteri, memberi ganjaran antara RM1 juta hingga RM2 juta, berdasarkan tahun perkhidmatan mereka," katanya lagi.
Menurut Mohideen, wakil rakyat sudah pun menikmati gaji dan elaun yang tinggi, menjadikan faedah pencen tambahan kelihatan berlebihan dan dalam semangat tadbir urus yang baik serta telus, adalah penting bagi pegawai dipilih memimpin melalui teladan.
"Mereformasikan atau memansuhkan pelbagai pencen akan memperkukuhkan lagi kepercayaan orang ramai terhadap pemimpin mereka dan menunjukkan komitmen terhadap pengorbanan serta tanggungjawab bersama.
"Sekiranya skim pencen itu dimansuhkan, ia perlu diganti dengan sistem yang serupa dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim hibrid dengan menggabungkan elemen KWSP dan pencen.
"Perubahan ini akan mengurangkan pergantungan kepada hasil cukai bagi membiayai pencen, memastikan pendekatan fiskal yang lebih mampan," katanya.
Mohideen berkata, CAP juga menggesa kerajaan mempertimbangkan semakan semula dasar pembayaran pencen kepada menteri dan wakil rakyat serta menangguhkan pembayaran pencen sehingga umur 60 tahun.
"Perubahan ini akan menangani potensi ketidakadilan individu yang menyambung semula kerjaya profesional mereka sejurus selepas tamat tempoh jawatan sementara menerima pencen dan ganjaran secara serentak.
"Pelaksanaan langkah seperti itu akan memastikan pendekatan lebih saksama terhadap pengagihan pencen, menghalang aliran pendapatan berganda yang boleh dianggap sebagai tidak adil oleh orang ramai," katanya.