GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong usaha bagi menurunkan harga makanan tetapi menggesa kerajaan untuk menangani cabaran keselamatan makanan Malaysia dengan lebih mendalam dan berpanjangan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata inisiatif kerajaan bagi memberi subsidi harga telur pula perlu dilihat sebagai langkah sementara, memandangkan subsidi jangka panjang tidak mampan.
Katanya, rakyat Malaysia makan lebih 940 juta telur setiap bulan, menjadikan ia sebagai sumber protein penting dan mampu milik dengan kegunaan kulinari yang pelbagai.
"Penternak ayam sangat bergantung kepada makanan import yang membentuk sebanyak 70 peratus daripada kos keseluruhan bagi membesarkan ayam.
"Bagi menstabilkan harga makanan, adalah penting bagi melakukan pelaburan dalam pengeluaran makanan tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, institusi pengajian tinggi Malaysia sudah menjalankan banyak penyelidikan tentang pengeluaran makanan haiwan yang berkhasiat dan berpatutan, jadi penggunaan penyelidikan ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada import dan menyokong pertanian tempatan.
Penternak perlu mempertimbangkan bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada makanan ayam import dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. - foto BERNAMA
Selain itu, penternak perlu mempertimbangkan bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada makanan ayam import dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
"Ketika rakyat Malaysia terus menggunakan kuantiti telur yang besar, pengguna menyatakan harapan bahawa lebih banyak barangan makanan penting akan diberi subsidi, membawa kepada pengurangan harga di kedai makanan," katanya.
Katanya, isu makanan sudah menghantui Malaysia sejak tahun 1980-an, apabila negara mula meminggirkan pertanian dan beralih kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan.
Malaysia perlu hidupkan semula sektor pertanian
"Oleh itu, Malaysia perlu segera menghidupkan semula sektor pertanian bagi memastikan keselamatan makanan untuk negara.
"Walaupun subsidi bagi barangan makanan penting lain juga perlu, CAP menentang subsidi untuk gula kerana kadar diabetes yang tinggi di Malaysia, tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara yang tertinggi di dunia.
"Penggunaan gula isi rumah rata-rata dianggarkan sebanyak 2.6kg sebulan, menyumbang secara signifikan kepada isu kesihatan ini," katanya.