|
JOJO tewas di tangan Duy Nhat dalam pertarungan One Championship.
Kuala Lumpur: Walaupun baru hanya semalam jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bertarung namun dia dijangka tidak berehat lama untuk menyambungkan kembali latihan bagi memperbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan akan datang.
Menurut jurulatihnya, Addy Sipangyak anak didiknya yang tumpas kepada petarung berpengalaman dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat itu, akan memperbaiki kelemahan yang ada bagi menghadapi pertarungan seterusnya.
"Selepas menamatkan misi ini, kita akan berehat selama tujuh hari. Kami akan kembali berlatih selepas itu dan mencari sebarang kesilapan untuk diperbetulkan semula bagi mengharungi pertarungan akan datang," kata Addy.
Kekalahan di tangan Duy Nhat dalam kategori flyweight pertarungan One 167 di Bangkok, Thailand nyata memberi kesan kepada atlet berusia 18 tahun itu namun ia dianggap sebagai satu pengajaran berguna buatnya mengharungi lumrah kehidupan.
Bagi Duy Nhat yang berusia 35 tahun yang juga juara WMF Muay Thai lima kali, Johan atau dikenali sebagai Jojo mempunyai fizikal dan mentaliti yang kuat sekali gus mempunyai masa depan yang cerah.
"Johan muda dan kuat. Dia juga mempunyai minda yang kuat, dia pastinya akan menjadi juara dunia One Championship di masa akan datang," kata Duy Nhat yang menewaskan Johan menerusi keputusan juri selepas tiga pusingan.
Semalam, Johan memohon maaf kepada peminat atas kekalahan pertamanya di One Championship selepas berusaha sebaik mungkin untuk cuba menewaskan Duy Nhat yang nyata lebih berpengalaman darinya.
"Agak mengecewakan kerana Nguyen adalah petinju teknikal. Dia mempunyai banyak pengalaman, dia tahu apa yang akan terjadi sebelum ia berlaku.
"Maaf kepada semua penyokong Malaysia yang hadir ke sini untuk menyokong saya. Saya 100 peratus dapat merasakan sokongan mereka di sini. Teruskan menyokong saya. Saya lakukan ini untuk peminat, saya akan kembali," kata Johan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... jo-teruskan-latihan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|