|
SYAIFOL Bahari ketika ditenteramkan ahli keluarga dan rakan selepas kemalangan yang mengorbankan isteri dan anaknya. FOTO Roselan Ab Malek.
Jerantut: Kegusaran Norazlina Ismail mengenai siapa yang akan menjaga anaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya dia sudah tiada akhirnya terjawab, semalam.
Takdir Ilahi menetapkan Norazlina, 44, meninggal dunia bersama anak syurganya, Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 18, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai Salan, di sini.
Turut maut selain dua beranak itu adalah pemandu sebuah lagi kenderaan, Suhaimi Abd Rahman, 42.
Suami Norazlina, Syaifol Bahari Idris, 50, berkata, isterinya bertanyakan soalan hal penjagaan anak mereka, dua hari lalu ketika mereka berbual sebelum tidur.
"Isteri risau kalau saya dan dia meninggal dan siapa yang mahu menjaga anak kami, seorang OKU.
"Saya jawab kepadanya, 'kalau kita tiada ada orang yang hidup akan menjaga anak kita. kalau saya mati, awak (isteri) akan menjaga, begitulah selalunya yang berlaku'.
"Apabila diingatkan balik, pelik apabila ditanya begitu. Rupanya dia (isteri) dijemput Ilahi dan bersama anak sekali," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut (HJ).
Syaifol Bahari yang juga pemandu ambulans di HJ berkata, walau berhadapan kehilangan dua orang tersayang serentak, dia tetap reda dengan ketentuan Allah.
"Nur Harina anak tunggal kami, saya reda dengan kejadian ini. Jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di sebelah pusara ibu mentua yang meninggal enam bulan lepas di Felda Jengka 16," katanya.
Syaifol Bahari yang cedera dalam kemalangan kira-kira 6 petang itu memaklumkan mereka tiga beranak dalam perjalanan pulang selepas menziarahi orang meninggal dunia di Felda Jengka 13 dan singgah di rumah keluarga di Felda Jengka 16.
Sementara itu, bapa mentua Suhaimi, Ahmad Hamizi Omar, 60, berkata, menantunya bekerja sebagai pemandu jengkaut di Tembeling dan akan pulang ke rumah pada setiap hujung minggu untuk bersama keluarga.
"Saya mengetahui kejadian pada 8.30 malam. Anak saya (isteri Suhaimi) maklumkan yang suaminya ada menelefon sebelum bertolak pulang dari Tembeling.
"Arwah juga beritahu akan singgah melawat ibunya di Felda Gelanggi Dua dahulu sebelum pulang ke Lepar Utara 4," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... t-ilahi-dengan-anak |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|