|
Penyokong yang hadir di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan perlawanan antara JDT menentang NSFC minggu lalu. - Foto JST
KUALA LUMPUR: Gelanggang keramat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim mencatat kehadiran penyokong tertinggi bagi aksi kedua Liga Super.
Pertembungan JDT dengan Negeri Sembilan yang berlangsung, Sabtu lalu dan berkesudahan Harimau Selatan menang 3-1 menerima 19,988 kehadiran penonton, sekali gus mengatasi venue lain.
Juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu menerusi laman sosial mereka turut mengucapkan terima kasih kepada penonton yang hadir pada perlawanan itu.
"Terima kasih diucapkan kepada 19,988 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara JDT dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim. Jumpa anda kembali pada perlawanan seterusnya," kata kelab itu.
Ia menjadi aksi pertama JDT musim ini selepas perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor yang sepatutnya berlangsung di gelanggang sama, 10 Mei lalu dibatalkan.
Perlawanan antara Perak menentang PDRM di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu lalu pula berjaya mencatatkan kehadiran penonton kedua paling tinggi dengan 11,647.
Aksi dua pasukan ternama Selangor dan Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu merekodkan 10,077 penonton dengan tiket habis terjual.
Sementara itu, pertembungan Kelantan Darul Naim (KDN) dan Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu di kedudukan keempat dengan rekod kehadiran penonton 7,778.
https://www.bharian.com.my/sukan ... tewaskan-venue-lain |
|