Selain itu,beliau memaklumkan, Angkasa juga sedang dalam proses membangunkan projek ternakan lembu pedaging yang akan melibatkan Angkasa Kedah dan Perlis dan dijangka akan melibatkan empat koperasi untuk waktu permulaan.
"Kita turut menjalankan inisiatif bersama Lembaga Getah Malaysia di bawah Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) bagi memperkenalkan hasil getah krip premium kepada pengusaha getah dan pekebun kecil getah termasuk dari kalangan koperasi bagi meningkatkan kualiti hasil getah," katanya.
Sementara itu, Abdul Fattah memaklumkan, Angkasa akan mengadakan Kongres Koperasi Kebangsaan tidak lama nanti.
"Jadi, kita ada empat fokus utama yang nak kita bincang dalam kongres termasuklah identiti dan jati diri koperasi, pemerkasaan akta dan peraturan koperasi, pemerkasaan pendidikan dan modal insan koperasi serta pengukuhan daya saing perniagaan koperasi," katanya.
Menurut beliau, pihaknya hendak meneliti semula kerelevanan dan kesesuaian akta dan peraturan koperasi yang digunapakai supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik melalui kongres itu.
"Akta ini bukan akta koperasi sahaja (tetapi juga) akta-akta dan aturan undang-undang yang tidak mesra kepada koperasi," katanya.
Tambahnya, Angkasa juga ingin melihat Dasar Kewangan dan Fiskal kerajaan yang dilihat tidak memberi kelebihan kepada gerakan koperasi untuk berdaya saing dan berkembang dalam perniagaan.
Katanya lagi, ia termasuklah soal bajet yang dilihat tidak sepadan dengan jumlah koperasi dan ahli koperasi yang terus meningkat setiap tahun.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mohon kerajaan melihat kepada akses kredit yang lebih baik untuk gerakan koperasi melalui Kongres Koperasi Kebangsaan.
"Kita mahu koperasi dapat berkembang dengan lebih baik di mana peluang-peluang yang wujud seperti pekerjaan dan pendidikan dapat disediakan kepada warga Bumiputera sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau yakin Angkasa dapat mencapai perolehan sebanyak RM73 bilion menjelang 2030 seperti disasarkan kerajaan.
Sehubungan itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa akan terus memperkasakan lagi koperasi melalui penerokaan bidang baharu termasuklah teknologi dan kenderaan elektrik (EV) demi merealisasikan matlamat itu.