|
PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez (kiri) antara pemain yang paling banyak mensia-siakan peluang ketika menentang Palace. – AFP
LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berasa begitu menyampah dengan persembahan pasukannya selepas tewas 0-1 kepada Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, kelmarin.
Klopp juga mendakwa ia menjadi detik ngeri buat The Reds sambil mengakui sukar untuk beliau menyaksikan semula ulangan perlawanan berkenaan.
“Hanya Curtis Jones sentiasa mengejar dan cuba memecahkan rentak Palace yang bermain seperti biasa. Sebaliknya, agak ngeri untuk melihat kami bermain,” katanya.
Jaringan tunggal Eberechi Eze sudah cukup untuk mengesahkan tiga mata buat Palace, namun The Reds wajar menyalahkan diri sendiri kerana mempersiakan banyak peluang terbaik.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool kini melepaskan peluang terbaik untuk melonjak ke tangga teratas EPL yang kini menjadi milik Manchester City dengan kelebihan dua mata.
Kekalahan itu turut menafikan hasrat Liverpool untuk kembali bangkit daripada keputusan seri 2-2 dengan Manchester United sebelum tewas 0-3 kepada Atalanta di pentas Liga Europa.
“Ia bukan sesuatu yang baik, jarak antara pemain juga agak jauh dan tiada tekanan dilakukan ketika lawan melakukan gerakan. Ia berlaku selepas beberapa hari kami bermain teruk dan ada sesuatu yang perlu kami lakukan.
“Sebenarnya ia adalah perlawanan yang bagus, tetapi tiada jaringan mampu dihasilkan yang saya percaya bukan mudah untuk kami lakukan,” jelas Klopp. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... h-tengok-liverpool/ |
|