Marang: "Walaupun tidak pernah berasa menyambut Aidilfitri di penjara, namun tiga rotan yang pernah hinggap ke badan meninggalkan pengalaman pahit buat saya," kata Mohd Azman, 25, (bukan nama sebenar).
Dia adalah seorang banduan Penjara Marang di sini, yang dibebaskan, hari ini.
Menurutnya, kesalahan dadah yang dilakukannya membawa padah apabila ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun bersama tiga sebatan.
Katanya, sepanjang sembilan bulan di penjara dia sudah menerima 'habuan' daripada kesalahan yang dilakukan iaitu hukuman rotan yang dianggapnya amat pahit.
"Saya akui kesalahan yang dilakukan dan hukuman sudah diterima, hari ini lebih membahagiakan kerana saya dibebaskan walaupun tempoh di penjara masih panjang.
"Alhamdulillah, saya boleh menyambut Aidilfitri bersama keluarga kerana dibebaskan lebih awal melalui Program Ihsan Madani kalau tidak sudah tentu tahun ini merupakan tahun pertama saya beraya di penjara," katanya.
Azmi antara 163 banduan dibebaskan di majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani-Kepulangan Yang Dinanti Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di Penjara Marang di sini, hari ini.
Menurutnya yang kali pertama dipenjara berkata, dia ingin memulakan kehidupan baru dan meninggalkan tabiat buruk melakukan aktiviti pengedaran dadah seperti sebelum ini.
Katanya, hidayah milik Allah dan dia sudah serik untuk melakukan perbuatan itu lagi kerana disifatkan tidak bermanfaat dan merosakkan masa depan.
Azman berkata, pembebasannya hari ini dianggap satu rahmat yang besar dan cukuplah hanya sekali dia 'berkunjung' ke tirai besi yang banyak mengajarnya erti kehidupan.
Seorang lagi penghuni yang dibebaskan Azli, 42, (bukan nama sebenar) berkata, dia juga terbabit dalam kesalahan dadah hingga menyebabkan dia meringkuk dalam penjara.
"Ini merupakan kali ke-14 saya dipenjara atas kesalahan dadah dan pernah tiga kali tidak beraya bersama keluarga kerana meringkuk di penjara.
"Harapan saya kali ini adalah langkah terakhir saya ke sini (penjara) kerana faktor usia membuatkan saya sudah letih untuk melakukan tabiat lama iaitu menagih dadah," katanya yang dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun.
Menurutnya, Penjara Marang banyak menerapkan elemen kerohanian dan dia berharap ilmu yang bermanfaat diperoleh di penjara dapat membantunya untuk berubah.
Katanya, kalau dilihat pada jumlah dia penjarakan sebanyak 14 kali mungkin ramai yang mengatakan dia tidak serik dengan hukuman namun kekuatan diri mengakibatkan dia berulang kali melakukan kesalahan terbabit.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Terengganu Hamid Taha berkata, seramai 163 individu dibebaskan hari ini melalui program terbabit.
"Saya berharap keluarga dapat menerima ahli keluarga mereka ini dengan berlapang dada dan membantu mereka (bekas pesalah) untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
"Selain diserahkan kepada keluarga melalui program ini, bekas pesalah juga turut diserahkan terus kepada majikan untuk mereka memulakan hidup baru dengan bekerja," katanya.