KULIM: Dangai, antara kuih tradisional yang popular di utara negara, kini semakin sukar diperoleh.
Walaupun cara membuatnya tidak begitu rumit menggunakan bahan seperti tepung pulut, kelapa muda parut, garam serta gula, tidak ramai menjual kuih itu sekarang.
Keadaan itu mungkin disebabkan kos bahan mentah tinggi sehingga tidak ramai pengusaha mahu meneruskan penjualan secara komersial.
Bagi peniaga, Norsalina Ismail, 59, dahulu kuih dangai hanya dijual 20 sen sebiji pada tahun 1993 sebelum naik 50 sen sebiji kerana bahan yang digunakan mudah didapati sekitar kampung.
Namun katanya, kini disebabkan peningkatan harga bahan mentah, kuih dangai sudah naik harga mencecah RM1.50 sebiji.
"Mungkin sebab itu kuih dangai ini tidak lagi dijual seperti dulu kerana kos ramuan bahannya sudah meningkat," katanya ditemui di Kampung Sungai Buloh, Sedim, semalam.
Katanya, dia hanya menerima tempahan jika ada yang mahukan kuih dangai itu terutama pada musim kenduri, atau program di kampung bergantung pada permintaan.
Untuk membuat dangai, tepung pulut digaul dengan kelapa muda dan dicampur garam serta gula sebelum dibakar dalam acuan selama lima minit.