|
AARON (depan) dan Wooi Yik terus kempunan untuk merangkul gelaran sulung All England selepas tewas kepada Fajar-Rian di perlawanan akhir sebentar tadi.
KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan pemburuan kejuaraan All England berakhir dengan kekecewaan apabila sekadar berpuas hati dengan naib juara.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 16-21 kepada juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Segalanya serba tidak menjadi buat Aaron-Wooi Yik seawal set pertama apabila melakukan banyak kesilapan mudah sehingga membolehkan pemain lawan mengutip mata percuma sebelum tewas 16-21.
Memasuki set kedua, bekas juara dunia itu kembali memperkemaskan permainan dengan harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun hampa apabila akur dengan kekalahan yang menyaksikan mereka terlepas kejuaraan tersebut.
Kali terakhir Malaysia muncul juara pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu adalah ketika perseorangan lelaki, Lee Zii Jia muncul juara edisi 2019 manakala beregu lelaki menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 17 tahun lalu.
Sementara itu, gelaran perseorangan lelaki menjadi milik pemain Indonesia, Jonatan Christie yang menewaskan rakan sepasukan, Anthony Ginting menerusi aksi straight set 21-15, 21-14 dalam tempoh 55 minit.
Aksi perseorangan wanita menyaksikan juara 2015 dari Sepanyol, Carolina Marin kembali merampas takhta kejuaraan apabila menang 26-24, 11-1 selepas pemain Jepun, Akane Yamaguchi menarik diri akibat kecederaan.
Dalam pada itu, beregu wanita No.2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee memastikan gelaran menjadi milik mereka selepas bermandi peluh untuk menewaskan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-19, 11-21, 21-17.
Beregu campuran No.1 dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pula mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu dengan mengenepikan cabaran pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dengan aksi straight set 21-16, 21-11.
Untuk rekod, juara acara beregu seluruh England membawa pulang hadiah wang tunai AS$96,200 (RM449,975) dan naib juara meraih AS$45,500 (RM212,826) manakala juara perseorangan menerima AS$91,000 (RM425,652) sementara naib juara AS$44,200 (RM206,745). – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... -wooi-yik-berkecai/ |
|