|
Kesebelasan utama Liverpool menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi unik kerana ia menampilkan 11 pemain dari 11 negara berbeza. – Foto liverpoolfc.com
LONDON: Liverpool menurunkan kesebelasan utama dengan 11 pemain dari negara berbeza buat kali pertama ketika menang 4-1 di Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.
Berikutan kecederaan menimpa Trent Alexander-Arnold, Alisson Becker, Thiago Alcantara dan Dominik Szoboszlai, pengurus Jurgen Klopp membuat rombakan dan pemain dari 11 negara membentuk kesebelasan utama dalam perlawanan liga buat kali pertama dalam sejarah 132 tahun kelab itu.
Pengendali dari Jerman itu menamakan pemain antarabangasa Ireland, Caoimhin Kelleher di pintu gol dengan barisan pertahanan menampilkan Conor Bradley (Ireland Utara), Ibrahima Konate (Perancis), Virgil van Dijk (Belanda) dan Andrew Robertson (Scotland).
Pemain tengah Curtis Jones satu-satunya pemain England dalam kesebelasan utama di samping pemain Argentina, Alexis Mac Allister dan pemain Jepun, Wataru Endo.
Barisan serangan terdiri daripada pemain Portugal, Diogo Jota, Luis Diaz (Colombia) dan Darwin Nunez (Uruguay) sebelum pemain gantian Mohamed Salah dari Mesir masuk pada hujung babak pertama.
Nunez, Mac Allister, Salah dan Cody Gakpo menyumbat gol untuk membantu Liverpool melonjak dengan 57 mata dan kekal dua mata di depan Arsenal. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... unik-dari-11-negara |
|